Showing posts with label syirik. Show all posts
Showing posts with label syirik. Show all posts

Friday, May 16, 2008

Tazkirah Jumaat: Berbuat baik kepada kedua orang tua

Assalamu'alaikum buat semua.

Ketika membrowsing sebuah kitab kecil "Sepuluh wasiat dalam Al-Quran" hasil penulisan Syeikh Abdul Hamid Kyusuk dan di alihbahasa oleh M.Ali Chasan Umar dan Achmad Masruch Nasucha, saya dapati ada beberapa ayat al-Quran yang menarik perhatian saya pagi ini.

1-Al-Baqarah ayat 83:
Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat". Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.

2-Al-Isra' ayat 23:
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

3-Al-An'am ayat 151:
Katakanlah: "Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.

Dalam ketiga-tiga ayat di atas,kita di peringatkan berkali-kali agar jangan Syirik kepada ALLAH Azza Wa Jalla dan kita di kehendaki berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa kita.

Selain itu terdapat beberapa lagi ayat yang menggalakkan berbuat baik dan berbakti kepada ibu-bapa:

4-Al-Ahqaf ayat 15:

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)".

5-Surah Luqman ayat 14:
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

Saturday, April 12, 2008

Apa nak jadi?

Dia melangkah longlai bila nama di panggil.
Keningnya mengerut sehingga alis mata bagaikan bercantum menjadi satu.
Satu senyuman paksa,tidak ikhlas menjelma di bibirnya. Senyuman lesu dari bibir yang lesu.

"Duduklah..." pelawa aku sambil menunjuk ke kerusi di sebelah kanan aku.Kerusi plastik putih kelabu.

Dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi. namun dia tidak memandang aku.Matanya tertumpu ke lantai dan kemudian ke jari-jari tangannya sendiri. dan dia menggaru-garu telapak tangan yang aku yakin tidak gatal barang sedikit pun.

Memang banyak yang bermain di fikirannya. Kening sudah tidak mengerut lagi.Sudah terpisah menjadi dua alis mata. namun dia menghela nasfas yang panjang. Sepanjang masaalah yang beliau alami,fikir ku.

" Ha...apa masaalah awak hari ni? Nampak tension saya" aku mula bicara. Aku memegang pergelanggan tangan kanannya dan merasai nadi.

" Saya selalu sakit kepala le doc...sampai tengkok pun sakit", ujar beliau sambil tangan kirinya meraba-raba tengkok seolah-olah memicit-micit tengkok.

" Dah lama ke macam ni? "

" Lama jugak doc! terutama pada waktu pagi"

" Awat tidur okay tak? Lewat masuk tidur kot!"

"Tak jugak doc. Masuk tidur awal...biasanya jam 10.00 dah masuk tidur"

" Masuk tidur awal tapi awak sukar nak lena kan? Awak ni ada masaalah besar ni saya rasa..." umpan aku. Aku tahu sering kalau wanita sukar tidur selalunya mereka ada masaalah yang besar yang meruntun fikiran mereka.

" Tak ada masaalah lah doc. Mana ada....semua okay". Ah ! Dari nada suaranya aku tahu dia berbohong pada aku.Ada yang mahu di sembunyikan.Tapi aku tahu pada masa yang sama dia mahu meluahkan apa yang tekumpul dalam sanubarinya keluar.

" Macam ni lah...saya dah kenal awak dah lebih 12 tahun. Tak payah nak sembunyi dari saya. bagi tahu saya apa masaalahnya? kalau saya boleh bantu saya bantu lah"

Dia diam sebentar. Matanya kembali ke lantai. Lama. Bagaikan mahu mengira berapa jumlah bakteria atau virus di lantai itu.

"Saya ni tension tentang suami saya la doc..."akhirnya dia bersuara. suara yang sayu kali ini. Suara yang lemah yang mahukan pertolongan.

" Awatnya dia? Dia ada pompuan lain ke?"...ahh!!Mengapa soalan itu yang aku ajukan. mengapa aku stereotype kan impression aku bila sang isteri berkata ada masaalah dengan suami?

"Tak doc. Bukan tu. Saya risau sebab saya rasa suami saya terlibat dengan ajaran sesat lah doc!"

Ajaran sesat? Terkedu aku sebentar bila dia beritahu begitu. Ap[a maksud wanita ini dengan ajaran sesat? macam Ayoh Pin ke?

"Ajaran sesat macamana? Cerita sikit kat saya"

" Laki saya ni ada bapak angkat,orang Indonesia tapi dah dudok kat Krubong. Setahun dulu dia selalu bawa bapa angkat dia datang rumah dgn 2-3 orang kawan dia. Saya nampak pak angkat dia macam menurun. kata suami saya nak hantar duit ke langit supaya dapat buat ibu duit ke apa ntah...Saya pun tak pasti sangat doc"

" Astahgfirullah...Macamana dia kenal orang tu?"

"Ntah lah doc..tau-tau dah jadi bapa angkat."

"Dah lah gitu..Dia marah saya dengan anak kalau kami sembahyang. Dia tak sembahyang tu dah lah satu hal...ini siap maki hamun saya kalau sembahyang bila dia ada kat rumah"

" Sampai sekarang dia macam tu?"

"Yang tak sembahyang tu memang sampai sekarang. Puasa pun tak pernah. Ada sekali bulan puasa tahun sudah, waktu siang dia balik suruh saya masak nasi. Sekali tu pulak bulan puasa jugak..siang-siang hari dia paksa saya projek dengan dia. Orang kata saya kena buat puasa 60 hari berturut-turut Ye ke doc?"

"Tentang masak tu tak jadi masaalah. Dia tanggung lah sebab dia yang tak puasa. Tentang kena puasa 60 hari terus tu, sebenarnya bukan awak yang kena puasa 60 hari berturut-turut. Itu kena pada suami saja bukan isteri. kalau isteri yang kena puasa mana mungkin dapat 60 hari terus. kan awak orang perempuan ada haid!"

"Tapi doc, saya tanya orang mereka kata saya yang kena puasa.macamana?"

" Orang tu tak faham tentang hukum kot....dalam bab jimak di bulan Ramadan ni selalunya yang tak menyabar orang lelaki lah....kalau dia tak ajak isteri jimak maka tak jimak lah, Pokok pangkal suami yang sepatutnya kawal nafsu. Katakan lah isteri yang hendak pada siang bulan puasa,tapi kalau suami tak mahu maka tak adalah jimak. Tapi kalau suami mahu isteri tak mahu beri dah jadi derhaka. jadi dalam hal ni suami lah yang kena puasa 60 hari tanpa henti walau sehari. kalau stop sehari...dia kena start balik dari day 1 semula. Keadaan ini amat mustahil bagi wanita kerana ada haid. faham dah sekarang?"

" Ohh....sekarang saya faham. tapi suami saya puasa sehari pun tak nak ini kan p[ulak nak puasa 60 hari doc! kira burn saja lah tu"

"Itu masaalah dia dengan ALLAH. jadi sampai sekarang dok menurun hantar duit ke langit lagi?"

" Masih doc. Dia dah lah tak kerja tetap. Makan minum kat rumah semua saya tanggung. Dia siap minta duit dari saya lagi doc! Kadang-kadang dia curi duit saya...Sedih sungguh macam ni doc"

"Awak ada bagi tau pada mak bapak dia?"

" Saya bukan orang DT doc. Saya dari melaka.mak ayah saya pun dah tak ada.yang saya ada laki dan anak yang sorang tu je lah. Dulu mak mertua pernah tegur suami saya..tapi dia marah mak dia balik doc! jadi dalam hal ni memang mertua saya atau adik beradik laki saya memang tak boleh tolong"

" Macam ni saja lah....Saya nak bagitahu pada Pak Imam Masjid kita tentang suami awak. Saya nak Imam pantau aktiviti suami awak. Dia dah syirik ni..."

" Tu lah yang saya risau doc. Dia pernah kata kat saya...yang engkau sembahyang tungging terbalik ni buat apa? Tak payah nak sembahyang sembahyang ni...."

"Sebab tu saya nak bagitahu Pak Imam. Kita tak mahu dia terus sesat macam gini....."

" Baiklah doc tapi jangan pulak sampai dia syak saya yang cerita pada doc atau Pak Imam. Nanti dia maki hamun saya lagi...saya taku lah doc"

"InsyaALLAH saya pandailah nak cover line awak. Okay ni saya bagi awak ubat untuk sakit kepala dan untuk tenang perasaan awak. saya bagi cuti hari ni kat awak"

Dia angguk dan ucapkan terima kasih. Mungkin ada harapan bagi dia dan anaknya. Mungkin masih tidak terlambat bagi menyedarkan suaminya dari terus di lamun kesyirikan.
Aku termenung sebentar. Aku teringat ada beberapa lagi orang-orang veteran di sini yang sibuk mencari "ibu duit". Mencari tangkal itu ini atau duit syiling lama untuk di buat ibu duit.

Aku teringat tentang beberapa suami yang tidak pernah berwudhu' mahupun mandi hadas. yang hidup mereka hanya untukmcari duit dan kemudian berjoli sakan.
Aku teringat tentang anak-anak yang aku khatankan tetapi tidak tahu bersolat. Tak tahu kerana ayah tidak pernah bersolat malah tidak pernah ke masjid pada hari Jumaat.

Friday, September 28, 2007

Perkara yang membatalkan Islam(Bahagian 15) Sebelas tanda-tanda Syirik.

Shadow-Allson Klana
foto by tokasid






E- sebelas tanda-tanda Syirik.

(a)Syirik Pada 'Iqtiqad
# 1-Percayakan kuasa selain dari ALLAH.

# 2- Menghalalkan dan mengharamkan.

# 3-Mengetahui yang ghaib.

(b) Syirik pada Amalan.

# 4-Tangkal dan Mentera

#5-Sujud kepada selain ALLAH

#6-Mengagungkan seseorang secara keterlaluan

#7- Faham Wahdatul Wujud

#8-Menyeru di kubur Wali


(c) Syirik pada Perkataan

#9- Menyamakan undang-undang ALLAH

#10-Ikut guru tak ikut Rasulullah s.a.w.

(d) SYAK

#11-Syak.

Huraian:


# 1- Percayakan kuasa selain dari ALLAH.

Syirik berlaku pada 'iqtiqad atau keyakinan, seperti seseorang berkeyakinan dalam masaalah ketuhanan, wujud kekuasaan selain daripada ALLAH (Na'uzubillahi min zalik)~ dapat menghidupkan dan mematikan. memiliki dan berkuasa sama seperti ALLAH.

Inilah yang dilakukan oleh banyak dikalangan pengikut agama lain.Mereka percaya kepada ubsur-unsur yang bukan-bukan, umpamanya mereka percaya di angkasa ada kuasa-kuasa yang tidak dapat ditandingi oleh kuasa ALLAH.


Kadang-kadang terbawa-bawa keyakinan ini- percayakan nasib,percaya kepada sial-majal; seakan-akan sial-majal itu penentu dan penguasa yang boleh menentukan untung rugi; mengatasi atau seiras,seimbang atau sama dengan kekuasaan ALLAH SWT.


Next: ....Menghalal dan mengharamkan.

Kandungan posting mungkin ada kena mengena atau tidak dengan makhluk yang hidup atau yang telah tiada.Kalau sapa-sapa terasa nak buat macamana kan. Sapa makan cabai melaka dia pedaih laa

Monday, September 24, 2007

Perkara yang membatalkan Islam(Bahagian 14):Syirik

Side mirror and a bird
foto by tokasid








( Sisipan: Sila lihat bro muteaudio on Angkasawan Malaysia)

D. Syirik Besar dan Syirik Kecil.

Setelah kita memahami dan mengetahui perkara-perkara asa yang boleh mencemarkan aqidah seseorang muslim, kini dihuraikan satu dari perkara yang membatalkan Islam itu.Perkara yang paling utama ialah masaalah SYIRIK.

(Syirik ialah menjadikan sekutu bagi Allah dalam melakukan sesuatu perbuatan yang seharusnya perbuatan itu hanya ditujukan kepada Allah (hak Allah), seperti menjadikan tuhan-tuhan lain bersama Allah, menyembahnya, mentaatinya, meminta pertolongan kepadanya, mencintainya atau melakukan perbuatan-perbuatan lain seperti itu yang tidak boleh dilakukan kecuali kepada Allah swt. ~ petikan ulasan Sheikh al-Qaradhawi)

Ramai antara kita, apabila di sebut syrik,akan membayangkan seseorang pergi dan menyembah berhala(tokong).Atau perbuatan tunduk dan sujud kepada batu atau objek-objek tertentu( busut jantan atau pangkal pokok).Itu saja syirik yang di fahami oleh kebanyakan orang dalam masyarakat kita. Selain dari perbuatan begitu,mereka tidak menganggap sebagai syirik.


Sebenarnya sirik lebih luas dari fahaman tersebut.Syirik adalah musuh utama kepada aqidah, sehinggakan Luqman didalam surah Luqman,telah berpesan kepada anaknya yang membesar dibawah pendidikan beliau,dengan pesanan agar anaknya menjauhkan diri daripada syirik.Kata Luqman dalam Surah Luqman 31:13 yang maksudnya:-


Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".


Mana lagi kezaliman yang lebih besar apabila seorang hamba yang diciptakan oleh Penciptanya, mempersekutukan penciptannya yang Maha Agung.


Apabila seseorang anak derhaka kepada ibunya,tidak mengiktiraf ibunya dan melakukan sesuatu yang tidak wajar kepada ibu yang melahirkannya, tidak ada hati atau diri yang dapat menerima perbuatan anak tersebut. Dan kita akan mengatakan bahawa dia anak derhaka.Perbuatannya tidak wajar.Dia anak yang tidak baik.Dia anak yang zalim.


Namun adakah kita dapat menerima seorang insan yang diciptakan oleh ALLAH.dan segala apa yang dimilikinya juga diciptakan oleh ALLAH, dan alam tempat yang kita huni ini juga dicipta oleh ALLAH Jalla wa A'la, tiba-tiba insan itu melakukan syirik kepada ALLAH. Insan yang begini adalah seorang hamba yang jahat,derhaka dan tidak mengenang budi.

Syirik ertinya meletakkan suatu bandingan; suatu penyekutuan atau menyamakan sesuatu dengan ALLAH SWT~ kebesaranNya,keagunganNya, kedaulatanNya sebagai Tuhan; pada namaNya; pada sifatNya. Apa saja perbuatan yang cuba menyaingi atau menandingi ALLAH , menyamakanNya atau melebihkan dariNya... segala perbuatan,perkataan,kepercayaan yang seperti itu menjadikan pelakunya dianggap sebagai melakukan syirik.


Hukum syirik: Adalah dosa besar yang tidak diampunkan, Na'uzubillahi min zalik.

Ini di jelaskan oleh ALLAH dalam Surah An-Nisaa':Ayat 48


Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya) dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.

dan dalam Surah An-Nisaa': Ayat 116


Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua) dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.


Syirik terbahagi kepada dua :-



1- Syirik yang Besar( 'as-syirk ul akbar). : sesiapa yang yang melakukan syirik yang besar maka dia terkeluar daripada Islam.



2-Syirik yang kecil( 'as-syirk ul-asghar): Walaupun namanya "kecil",tetapi ia adalah dosa yang paling besar dalam Islam. Perbuatan syirik yang kecil ini tidak terkeluar daripada Islam,tetapi menghampiri daerah-daerah untuk terkeluar daripada Islam.



Next: ....Sebelas tanda-tanda syirik.



(Penjelasan ringkas tentang syirik,murtad,nifaq dan fasiq boleh baca kat sini)


Kandungan posting mungkin ada kena mengena atau tidak dengan makhluk yang hidup atau yang telah tiada.Kalau sapa-sapa terasa nak buat macamana kan. Sapa makan cabai melaka dia pedaih laa