Showing posts with label hadith. Show all posts
Showing posts with label hadith. Show all posts

Friday, May 23, 2008

Tazkirah Jumaat:Taat perintah jauhi larangan.

Bakawali
tokasid BenQ


Salam untuk semua....

Taat
Hadith :
Dari Abu Hurairah Abdul Rahman bin Sakhr r.a katanya:"Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:"Apa yang aku tegahkan kamu daripadanya maka hendaklah kamu menjauhinya dan apa yang aku perintahkan kamu dengannya maka hendaklah kamu kerjakan daripadanya apa yang kamu mampu. Sesungguhnya telah binasa orang-orang yang sebelum kamu oleh sebab banyaknya pertanyaan mereka dan perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka."
( Hadith soheh Riwayat oleh:Bukhari & Muslim)


1. Segala apa yang dilarang oleh Rasulullah S.A.W adalah semua perkara yang haram dari segala macam bentuk maksiat dan kejahatan sama ada berhubung dengan diri, masyarakat dan lain-lainnya. Ada yang berkait dengan harta benda seperti larangan mencuri, merompak, meragut atau membazirkan wang di mana setiap larangan itu ada hikmah dan faedahnya.


2. Manakala segala bentuk suruhan pula hendaklah dikerjakan menurut kadar yang dapat dilakukan sesuai dengan kekuatan atau kemampuan yang ada. Sesiapa pun tidak harus meninggalkan atau mencuaikannya tetapi mestilah dilaksanakan secara bersungguh-sungguh dengan penuh ketaatan.


3. Punca kebinasaan umat-umat sebelum ini adalah disebabkan perselisihan terhadap nabi-nabi mereka. Mereka suka membantah dan menentang apa-apa yang disampaikan serta banyak mengemukakan pertanyaan yang bukan-bukan sehingga menimbulkan banyak masalah dan akhirnya menyulitkan keadaan.

Namun adalah mudah untuk meninggalkan larangan dari melakukan suruhan. Ramai yang boleh tidak melakukan zina atau berjudi atau meminum arak atau melakukan rasuah.Tapi lebih ramai yang kita lihat tidak bersolat atau berpuasa atau bersedekah atau mengeluarkan zakat.(dan mereka ini juga kebanyakan nya tidak melakukan maksiat).



Mungkin ada akan bertanya:Mana lebih serious?Buat larangan atau tidak melakukan arahan?



Perumpamaan yang boleh di berikan adalah begini:
Mana yang kita lebih marah jika anak atau pekerja kita buat perkara yang kita larang?Katakan anak kita naik basikal di tengahari yang panas.Atau pekerja ita menggunakan talifon pejabat untuk panggilan peribadi.



Atau, lebih marah bila anak kita tidak pergi ke kedai seperti yang kita mahukan atau staff kita tidak membuat assingment yang kita tugaskan?



Melakukan larangan ada kemungkinan kerana degil atau memang jahat atau kerana terlupa atau kerana terpaksa.



Tidak mengikut arahan apa maknanya?Maknanya tidak mengikut perintah atau sengaja tidak mahu mengikut perintah atau tidak menghormati orang yang memberi perintah.



So mana lebih teruk?

Saturday, September 22, 2007

Hadith palsu fadhilat tarawih...berhati-hati


Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu ‘alaihi wasallam serta para sahabatnya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawih pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik,media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu.


Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut,

Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:

· Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).

· Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.


· Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.

· Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.

· Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.

· Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W..

· Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh…


Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini.

Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini.

Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.

Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya :


Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka.
(Bukhori, Muslim)

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu’ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim.

Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini.

Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S.A.W. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam… seterusnya dia berkata: Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga.

Fiman Allah bermaksud:

Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan.
(An-Najm: 3-4).



Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad S.A.W. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi:

Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri.Jika dia meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan kaa’bah…..

(hadith palsu)

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud:


Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu.
(Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud:



Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang.
(Al-Muddatsir)



Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan/palsu) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S.A.W. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.


2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur’an dan hadis-hadis shohih.


3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis shohih.


4. Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan “Ya Ali” sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang shohih.Yang lainnya adalah palsu.


Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah.Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w.Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT MENGIKUT
SUNNAH RASULULLAH S.A.W.






Tuesday, July 17, 2007

Fadhilat Bulan Rejab: BH sebarkan hadith palsu?





Salam buat semua.


Rejab telah datang merangkumi kita. Maka tersebarlah dalam dada akhbar tentang kelebihan Rejab dan Sya'aban. Memang terdapat beberapa keistimewaan bulan Rejab mahupun Sya'aban. Tetapi amat malang sekali banyak media memilih untuk mempromosikan hadith-hadith mawdhu'/palsu untuk memotivasikan orang ramai untuk beramal ibadah.Maka tersebarlah hadith2 palsu yang dikatakan datang dari Rasulullah s.a.w. Lupakah mereka akan hadith sohih dari Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Bukhori dan Ibn Majah:

"Barangsiapa berdusta terhadapku maka bersedialah mengambil tempatnya dari Neraka."


Malah hadith amaran seumpama itu juga diriwayatkan oleh Muslim,Abu Dawud,At-Tirmizi,Ahmad,Ad-Darimi .


Jadi disebarkan hadith palsu tentang solat sunat awal Rejab dan fadhilat puasa Rejab.
( sila lihat Himpunan Hadis Dha'if dan Maudhu'(Jilid 1)~ karangan Drs.Abdul Ghani Azmi bin Haji Idris, Al-Hidayah Publishers,Kuala Lumpur cetakan kedua 2001. Laman web: http://www.hidayah.com.my/)



Berita Harian online ada menyiarkan artikel kelebihan puasa sepanjang Rejab yang penuh dengan hadith palsu( yang di dedahkan oleh Drs.Abdul Ghani).


Boleh lihat dan baca satu penjelasan terperinci tentang hadith2 palsu ini di sini.



Bukan niat hendak melarang sesiapa dari mendekati diri pada ALLAH.Tetapi kaedah ibadah mestilah yg telah ditentukan oleh ALLAH melalui Rasulullah s.a.w. Ingatlah tujuan hadith2 palsu ialah nak membuat orang rajin beramal,tetapi kita mesti ingat cara yg salah tidak membetulkan tujuan yang benar. Tujuan tidak menghalalkan cara.


Semoga kita sentiasa melakukan dan mempertingkatkan amal yang hanya ditunujkkan oleh Nabi s.a.w.



Kandungan posting mungkin ada kena mengena atau tidak dengan makhluk yang hidup atau yang telah tiada.Kalau sapa-sapa terasa nak buat macamana kan. Sapa makan cabai melaka dia pedaih laa

Friday, May 11, 2007

Tazkirah Jumaat: Al-Hadith.

Malam mengambang( malam 16)
foto by tokasid
Aku dapat e-mail setiap hari dari group mymasjid. Ada seorang insan dgn nama Abu Hekal yg tidak jemu-jemu mengirimkan al-Hadith kepada ahli group tersebut.Hari ini aku ingin berkongsi beberapa hadith yang Abu Hekal hantarkanSekurang-kurangnya kita mendapat ilmu yg Rasulullah s.a.w. mahu sampaikan kepada kita,Jika kita dapat mengamalkan walau sedikit pun bermakna kita telah menjalani sunnah Nabi s.a.w.
Jika berkemampuan aku akan postkan al-hadith setiap Jumaat.



Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Barangsiapa yang
melapangkan suatu kesusahan dari beberapa kesusahan seseorang Mu'min
di dunia, maka Allah akan melapangkan untuknya suatu kesusahan dari
berbagai kesusahannya pada hari kiamat."

"Barangsiapa yang memberikan kemudahan kepada seseorang yang
kesukaran,maka ALLAH akan memberikan kemudahan padanya di dunia dan
di akhirat."

"Barangsiapa yang menutupi cela seseorang Muslim, maka Allah akan
menutupi celanya di dunia dan di akhirat."

"Allah itu selalu memberikan pertolongan kepada hambaNya, selama hamba
itu suka memberikan pertolongan kepada saudaranya."

"Barangsiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari suatu ilmu
pengetahuan, maka Allah akan memudahkan untuknya jalan menuju ke
syurga."

"Tiadalah sesuatu kaum itu berkumpul dalam sebuah rumah dari
rumah-rumah Allah, untuk membacakan kitab Allah (Al-Quran) juga
mentadarusnya antara mereka itu, melainkan turunlah kepada mereka
ketenangan hati, ditutupi oleh kerahmatan Tuhan, juga diliputi oleh
para malaikat dan Allah menyebutkan mereka itu di kalangan makhluk
yang ada di sisinya."

(Riwayat Muslim)

UPDATE: Ada sorang kawan aku yang punya lama hibernate dari blogging dan idup semula. Rupa-rupanya dia terlupa password blog dia.Sikit punya haru ka mamat sekoq ni.Tapi dia la yang dok layan aku ngeteh hari-hari dengan sorang lagi bakal blogger.
Kalau ada masa singgahlah tempat dia http://anakkedah7775.blogspot.com/

Kandungan posting mungkin ada kena mengena atau tidak dengan makhluk yang hidup atau yang telah tiada.Kalau sapa-sapa terasa nak buat macamana kan. Sapa makan cabai melaka dia pedaih laa

Monday, December 18, 2006

Bahaya menyebar Hadith palsu

Salam buat semua
Dapat ini dari seorang kenalan maya. Semoga kita berhati-hati dan mendapat menafaat,Ameen.


Diriwayatkan dari Salamah bin Al-Akwa r.a., aku pernah mendengar Nabi Muhammad s.a.w bersabda, " Jika seseorang mengatakan sesuatu yang tidak pernah aku katakan dengan nisbahnya kepadaku maka nescaya dia akan dimasukkan ke dalam api neraka" (Riwayat Bukhari )

Diriwayatkan oleh Ali r.a., Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda, "Jangan mengatakan sesuatu yang dusta tentang aku kerana sesiapa yang mengatakan dusta tentang aku nescaya dia akan dimasukkan ke dalam api neraka." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Dari Abu Said berkata: beliau pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka dia hendaklah menegah kemungkara n itu dengan tangannya iaitu kuasanya. Jika tidak mampu, hendaklah ditegah dengan lidahnya. Kemudian kalau tidak mampu juga, hendaklah ditegah dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.(Riwayat Muslim)

Pendek kata, api neraka adalah ganjaran orang yang mendustakan Nabi saw. Apabila kita melihat dan mengetahuinya, maka perlulah kita mengambil tindakkan sama ada dengan kuasa atau sekadar dengan hati.

Namun untuk menegur, Allah telah menyuruh kita menegur dengan baik dalam surah Fussilat ayat 34, "Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib."

Kita juga boleh menggunakan taktik Nabi Ibrahim a.s. iaitu dengan memberi ruang kepada kaumnya memikir semula apa yang mereka sembah. Di dalam Al-Quran diceritakan, bahagiamana beliau telah memecahkan berhala-berhala kecil dan menggantungkan kapak di berhala besar, lalu menyuruh kaumnya bertanya dengan berhala-berhala itu sendiri. Secara tak langsung, kaumnya telah dipaksa untuk berfikir. (Rujuk surah Al-Anbiya ayat 57 hingga 65)

Dalam konteks untuk menyedarkan ustaz-ustaz atau pakcik-pakcik yang kita hormati itu, kita boleh bertanya dengan mereka secara baik. Mereka mungkin tidak menyedari mereka salah. Pertanyaan-pertanyaan kita akan membuat mereka berfikir semula.

Sebagai contohnya, apabila kita mendengar hadith-hadith palsu, lalu bertanyalah kita kepada mereka, "Pakcik, hadith tu riwayat siapa yer?"Mungkin beliau akan menjawab, "Abu Hurairah ..""Eh .. bukan riwayat Ali bin Abi Talib ? ", anda boleh bertanya dan dia akan mula berasa ragu. "Boleh tak pakcik cuba dapatkan lafaz hadith tersebut dalam bahasa arab, kalau boleh saya nak catatkan, mudah-mudahan pakcik diberkatiNya.", anda meminta dia mendapatkan sumber.

Beliau mungkin akan meminta sedikit masa untuk menyemak semula sumber-sumber beliau, jika hadith yang diceritakan memang sahih dan bersumber, sudah tentu kita akan mendapat jawapan dan itu akan menjadi suatu ilmu untuk kita. Alhamdulillah. Namun jika sebaliknya, beliau akan dipaksa untuk berfikir .. dan sudah tentu tidak akan mengulangi hadith berkenaan.. Sekadar pandangan ..


Kandungan posting mungkin ada kena mengena atau tidak dengan makhluk yang hidup atau yang telah tiada.Kalau sapa-sapa terasa nak buat macamana kan. Sapa makan cabai melaka dia pedaih laa