Showing posts with label dr maza. Show all posts
Showing posts with label dr maza. Show all posts

Saturday, August 29, 2009

Wudhu atas balutan dressing atau plaster POP


Salam buat semua.

Aku sering di tanya soalan oleh pesakit yang cedera dan terpaksa di jahit luka mereka dan di balut kawasan jahitan tersebut atau oleh pesakit yang berplaster POP di kaki atau tangan kerana fracture.

Ramai yang aku dapati meninggalkan solat( bagi yang rajin bersolat, yang 'so liat' nak solat tu lain cerita) bila anggota wudhu terpaksa di balut atau di plaster.

Jadi di sini aku siarkan pandangan Dr MAZA tentang perkara ini yang aku petik dari sini.

Di harap dapat di manafaatkan agar tiada lagi yang tercicir solat bila sakit.

Soalan: Seorang yang tercedera akibat kemalangan atau apa sahaja, lalu anggota dibalut, apakah yang dia perlu lakukan untuk berwuduk atau mandi wajib?

Jawapan: Dalam masalah ini, kebanyakan ulama menyatakan: Dia hanya perlu menyapu air pada balutan berkenaan. Dia tidak perlu menyampaikan air pada kulit di bawah balutan tersebut. Bab ini dipanggil al-Mash ‘ala al-Jabirah wa al-‘Isabah iaitu menyapu di atas balutan patah dan luka.

Namun begitu oleh kerana hadith-hadith dalam masalah ini kesemuanya tersangat daif, ini seperti yang dinyatakan oleh para ulama hadith seperti al-Baihaqi, dan tegaskan lagi oleh al-Albani dalam Tamam al-Minnah, maka berlaku perbezaan pendapat di kalangan ulama dalam masalah ini.
Apa yang dapat dirumuskan dari perbahasan para ulama fekah, ialah dua pendapat yang mudah diikuti;

Pertama: Hanya perlu sapu di atas balutan tersebut. Dia tidak diwajibkan berwuduk sebelum memakai balutan tersebut. Ketika berwuduk atau mandi wajib dia hanya perlu sapu air di atas balutan tersebut, tanpa perlu membasuhnya, atau melalukan air di bawahnya, atau menanggalkannya. Inilah pendapat terpilih daripada kebanyakan ulama Fekah. (‘Abd al-Karim Zaidan, Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar`ah, jld 1, m.s. 140, Beirut: Muassasah al-Risalah 1994).

Kedua: Disebabkan hadith-hadith dalam perkara ini terlalu daif, maka terdapat ulama fekah yang berpegang kepada tidak wujud hukum sapuan atas balutan patah atau luka. Sebaliknya anggota yang cedera, atau dibalut tersebut tidak perlu sebarang sapuan atau basuhan kerana telah gugur kewajipan syarak ke atas anggota tersebut. Ini pendapat yang dikemukakan oleh al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi (wafat 456H). Kata beliau ketika memberikan alasan pandangannya : “Dalilnya firman Allah:

(maksudnya) “Allah tidak bebankan kepada seseorang kecuali apa yang dia terdaya”.

Juga sabda Nabi s.a.w:

وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُم

“Apabila aku perintah kamu dengan sesuatu perintah, maka datangilah ia dengan kadar kemampuan kamu” (Riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan dalil al-Quran dan al-Sunnah, sesuatu kewajipan gugur apabila yang seseorang tidak mampu. Maka gantian kepada yang gugur itu hendaklah berasaskan syarak. Syarak pula tidak wajib diikuti kecuali adanya dalil daripada al-Quran atau sunnah. Namun, tiada dalil al-Quran atau sunnah yang menggantikan basuhan dengan sapuan atas balutan patah atau ubat bagi anggota yang tidak mampu dibasuh”.( Ibn Hazm al-Andalusi, Al-Muhalla, jld 1, m.s. 316, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah t.t)

Salah satu pendapat atas boleh untuk diamalkan dan lebih mudah dari seseorang terikat dan taksub kepada mazhabnya sehingga akhir meninggalkan solat. Pendapat al-Imam Ibn Hazm lebih praktikal secara hujah dan perbandingan. Memudahkan hal ini adalah baik dari memberikan pendapat mazhab yang lemah lagi menyusahkan pesakit sehingga kemungkinan mereka meninggalkan solat.

ALLAH LEBIH MENGETAHUI
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Tuesday, August 4, 2009

Derita Hati Seorang Bonda

Salam semua.

Tanpa kita sedari atau kita buat-buat tak sedar, berapa banyak bonda-bonda yang merintih setelah anak-anak berjaya dalam kehidupan masing-masing.

Anak-anak menjadi terlalu sibuk hinga tiada masa untuk menjengah bonda di kampung.
Malah anak-anak amat sibuk sehingga tiada masa untuk menelefon bonda yang menanti saban hari untuk mendengar suara dan khabar anak-anak bonda.

Amat susah kah untuk menanya khabar tentang bonda seminggu sekali?Atau sebulan sekali? Atau 3 bulan sekali? Atau setahun sekali?

Amat sukarkah untuk berhari raya bersama bonda setahun sekali? Atau 5 tahun sekali? Atau 10 tahun sekali?

Memadaikah hanya mengirim wang kepada bonda setiap bulan?

Bukan itu yang bonda mahukan.Bukan wang ringgit yang bonda mahukan.
Bonda hanya ingin tahu bagaimana anak-anak sekarang.? Bagaimana cucu-cucu sekarang?
Bonda mahu merenung muka anak-anak, membelai anak-anak dengan pandangan bonda.
Bukan bonda mahu merampas anak dari isteri mereka.Atau dari suami mereka.

Bonda hanya mahu sedikit cebisan kasih sayang dan prihatin anak-anak.....Bonda ingin kepastian bahawa bonda masih bonda anak-anak......


Friday, July 24, 2009

Islam di China...klip muzik buat umat Islam China

Salam buat semua.

Kita telah di gemparkan dengan kejadian di Xinjiang sebuah Wilayah Autonomi di Barat China.
Pelbagai anggapan dan tanggapan dari berbagai pihak dan sudut telah kita baca. Seperti biasa kumpulan Muslim terutamanya yang lemah apalagi sebagai minoriti di tunding sebagai pelampau atau pembangkit huru-hara malam sebagai pengganas atau terrorist.

Masyarakat dunia,malah masyarakt Islam di seluruh dunia seolah-olah bersetuju dengan pandangan 'popular' ini.

Dunia lupa atau tidak mahu ambil tahu akan kezaliman demi kezaliman yang umat minoriti di China hadapi sejak zaman Dinasti Qing lagi. Di Shaanxi pernah berlaku genocide yang menyebabkan 91% umat Islam China( di panggil Hui) lenyap dari muka bumi.
Kehadiran rejim komunis terutama ketika era Mao Ze Dong, umat Islam di larang dari mempelajari agama mereka sendiri.Malah di larang beribadat. Cuma selepas kematian Mao keadaan agak bertambah baik sedikit terutama di Wilayah Xinjiang.

Namun penghijrahan tersusun orang berketurunan Han yang semakin bertambah ke Wilayah yang ramai Muslim telah menyebabkan masaalah yang besar. Keturunan Han mendapat sokongan padu dari Beijing secara langsung menyebabkan kaum Muslim terutama orang Uighur di zalimi semula.

Pelbagai jenayah terhadap mereka bagaikan tidak di ambil peduli oleh pihak polis atau tentera.
Padaawal Julai 2009, kaum Uighur yang merasakan mereka di tindas dan di zalimi oleh kerajaan Komunis dan kaum Han memulakan perhimpunan tunjuk perasaan.

Kita maklum di mana mana saja bila ada demonstrasi, pasti akan ada anasir-anasir provokasi yang tidak mahu demonstrasi berlaku secara aman.

Apa yang berlaku kemudiannya telah menjadi sejarah hitam bagi penduduk Xinjiang terutamanya di kota Urumqi.

Atas rasa bersalah( kerana tidak pernah ambil tahu) dan kesedaran penindasan yang mereka lalui, aku membuat music clip ini untuk di kongsi bersama.

Dengarilah bait bait lirik yang menyentuh hati hasil nukilan Dr MAZA, mantan Mufti Negeri Perlis. Lirik ini berdasarkan pengamatan Dr MAZA ketika menziarahi Wilayah Xinjiang sedikit masa lalu.

Bait-bait ini di lagukan oleh kumpulan Algebra, sebuah kumpulan Nasyid yang agak unik.
( Kesemua lagu-lagu dari album Algebra di tulis oleh Dr MAZA dan kesemuanya telah di haramkan oleh RTM kerana ramai pembesar-pembesar negara terasa pedas)

Terimalah Islam di China....



Lirik asal boleh lihat di Dr MAZA



Monday, April 6, 2009

Melayu Mudah Lupa : UMNO= rasuah politik wang

Salam buat semua.

Dah lama aku tak ulas perkembangan politik tanahair.Apa lagi dengan 3 pilihanraya kecil(PRK) di 3 kawasan esok. Satu Parlimen dan 2 DUN. Bukit Gantang di Perak,Bukit Selambau di Kedah dan Batang Ai di Sarawak.

Dalam seminggu ni kita dah baca dan tonton pelbagai berita dan cerita tentang PRK di 3 kawasan ini. Ada cerita benar.Ada cerita palsu.Ada cerita benar benar benar.Ada berita benar benar palsu.Ada yang plasu palsu benar.

Bila ada 3 PRK ini aku teringat kata-kata Dr M sewaktu menjadi PM dulu.Kata-kata atau frasa yang begitu terkenal sehingga sekarang selain dari "....apa nama...." iaitu : Melayu mudah lupa.

Ramai bijak pandai serta yang pandai pandai buat bijak mengatakan orang Melayu ni ingat sesuatu isu atau kejadian atau perkara penting/hebat hanya untuk 3 bulan sahaja. Tapi aku tak setuju.Bukan tak setuju frasa Melayu mudah lupa.Itu aku setuju.Aku tak setuju bila yang cerdik pandai kata ingatan Melayu setakat 3 bulan sahaja. Itu penghinaan terhadap Melayu sebenarnya. Melayu lebih baik dari itu. 3 bulan adalah terlalu lama.

Aku kata Melayu akan lupa dalam tempoh seminggu sahaja.Awat yang hangpa dok geleng kepala? Hangpa ingat aku pakai taram saja ka? Aku akan buktikan bahawa Melayu akan lupa dalam tempoh seminggu.

Hangpa tunggu malam esok bila keputusan PRK di umumkan. Hangpa akan dapati pengundi Melayu di Bukit Gantang dan Bukit Selambau akan memilih semula BN/UMNO. Walaupun 2 minggu lalu depa pakat maki hamun BN/UMNO kerana politik wang.Mana calun-calun PAU yang tak kena maki free? Ramai yang kena aku percaya.

Tapi bila pemimpin peminpin yang ramai dok amal amalan rasuah politik ang ini turun berkempen di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, aku percaya ramai pengundi Melayu telah jatuh chenta kat pengamal rasuah politik wang. Jadi maraj Melayu terhadap politik wang hanya seminggu saja.

(Nota: aku percaya bukan UMNO sahaja yang ada masaalah rasuah dan politik wang.Banyak parti politik lain yang dok buat sama)

Satu lagi cerita sensasi ialah kemasukan semula Dr M ke dalam UMNO. Ni pun menarik apa lagi bila kita ingatkan analogi yang Dr M kata 2 minggu lalu.

Hangpa ingat dak semasa Ali Rustam di larang bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO? Tak ingat? Hai...baru 2 minggu dah tak ingat? Memang aku dah kata Melayu lupa dalam tempoh seminggu hangpa tak percaya.Okay...masa Ali di disqualifiedkan oleh Lembaga Disiplin UMNO, penyokong-penyokong Ali yang dok mabuk cencalok marah sakan. Bila di tanya pada Dr M tentang reaksi penyokong Ali,Dr M kata orang yang sokong pemimpin rasuah bermakna menyokong gejala rasuah. Itu yang aku faham apa yang Dr M kata.

Lepas tu, beliau tak mahu hadir PAU bila KJ menang sebagai Ketua Pemuda UMNO.Kata Dr M, delegasi Pemuda pilih perasuah sebagai pemimpin jadi dia tak mau hadir.Cuma bila Mahyuddin menang baru dia pi ke PAU.

Tapi aku pun hairan pasai apa Dr M masuk balik dalam UMNO sedangkan KJ masih Ketua Pemuda dan Ali Rustam masih Ketua Perhubungan UMNO Melaka? Adakah Dr M sudah 'menyokong' parti yang mempunyai pesalah rasuah politik wang?

Atau Dr M juga mudah lupa dalam tempuh seminggu!

Friday, April 18, 2008

Tazkirah Jumaat: Jalan pulang amat luas

JALAN PULANG KE PANGKUAN TUHAN AMAT LUAS

(petikan dari Dr.MAZA)

ANTARA keistimewaan Islam yang agung ini adalah jalan pulang ke pangkuan agama ini amat luas terbuka dan tidak membebankan. Peluang seorang insan kembali ke pangkuan keampunan dan keredaan Allah tidak pernah disekat oleh sebarang jarak waktu, latar diri, keturunan, atau harta.

Sesiapa yang ingin pulang ke pangkuan Allah tidak pernah dihalang oleh agama ini disebabkan jenis dosanya atau keturunan, usianya yang lanjut, atau apa sahaja.

Seseorang yang ingin kembali kepada Allah diterima oleh kerahmatan-Nya dengan syarat insan tersebut menyesali kesilapannya, benar-benar memohon keampunan dan berazam tidak mengulangi kesalahan lalu. Jika kesalahan itu sesama insan lain, dia memohon maaf dari yang dizalimi. Jika tidak mampu, bimbang mudarat yang lebih besar jika permohonan maaf dibuat, serahkan sahaja urusannya itu kepada Allah dan Allah Maha Mengetahui kadar kemampuan hamba-hamba-Nya.

Firman Allah dalam surah Ali ‘Imran 135-136: (maksudnya) Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah - dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang- orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.

Islam bukan seperti sesetengah ajaran yang menyuruh seseorang yang berdosa membuat pengakuan di hadapan orang agama, atau melakukan upacara yang menyeksa diri demi penghapusan dosa seperti melukakan diri atau berjalan atas bara api atau membuat bayaran penebusan.

Demikian perbuatan sesetengah pihak mencari rezeki dengan mengambil upah untuk pelupusan dosa solat atau puasa atau ibadah yang lain, bukan dari ajaran Islam. Islam tidak pernah mengenal itu semua. Seperti Islam tidak pernah menerima sama sekalipun perbuatan sesetengah agama lain yang mengeluarkan surat berbayar untuk penghapusan dosa, demikian Islam tidak dapat menerima perbuatan penganutnya jika melakukan hal yang sama dengan mengeluarkan borang pahala yang dijual sempena Ramadan atau selainnya.

Keampunan dan rahmat Allah bukan dijual di jalanan. Ia sangat berkaitan dengan keluhuran jiwa yang ikhlas ingin kembali kepada Allah Yang Maha Pengampun. Jika keampunan hanyalah bayaran yang dibayar kepada pihak tertentu, tentulah semua orang kaya tempatnya di syurga.

Sementara si miskin yang tidak mampu membayar kepada golongan agama tiadalah habuan keampunan untuknya. Maka tidaklah perlu lagi seseorang berpegang dengan agama, cukuplah dengan membanyakkan ongkos, maka selamatlah dia di sisi Tuhan. Aduhai, tentu tidak demikian.

Firman Allah (maksudnya):

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan manfaat sesuatu apapun. Kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera. Dan (pada hari itu) didekatkan syurga bagi orang- orang yang bertakwa. Dan diperlihatkan neraka jelas nyata kepada orang-orang yang sesat. (surah al-Syu’ara 88-91).

Seseorang yang berdosa pula, tidak disuruh mendedahkan dosanya kepada orang lain sekalipun di hadapan ulama atau siapapun di kalangan manusia. Bahkan dia disuruh bertaubat antara dia dengan Allah dan menutup keburukan dirinya daripada orang lain. Nabi s.a.w. bersabda: Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang Muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat. (Riwayat Muslim).

Termasuk dalam perkataan Muslim itu diri insan yang berdosa itu sendiri, dia juga tentu seorang Muslim. Maka dia wajib menutup keaiban dirinya. Maka dalam Islam tidak ada ‘pengakuan dosa di hadapan paderi’. Sesiapa sahaja yang berasa berdosa dan ingin kembali kepada Allah, maka dia bertaubat di mana sahaja dia berada.

Sabda Nabi: Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya. (Riwayat al- Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani). Aduhai luasnya rahmat Allah dalam agama ini. Bahkan dalam sebuah hadis kudsi, Allah berfirman: Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya aku datang kepadamu dengan penuh keampunan. (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Bahkan kita dilarang kecewa dengan hidup disebabkan dosa yang lalu. Sebaliknya, disuruh agar sentiasa memohon keampunan daripada Allah dan jangan kecewa dari rahmat-Nya. Firman Allah dengan penuh syahdu dalam surah al-Zumar ayat 53: (maksudnya),

Katakanlah: Wahai hamba- hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) ketika mentafsirkan ayat ini menyebut: “Ayat yang mulia ini adalah panggilan untuk semua pembuat dosa dari kalangan yang kufur dan selain mereka agar bertaubat dan kembali kepada Allah. Ayat ini juga adalah pemberitahuan Allah Yang Maha Berkat Lagi Maha Tinggi bahawa Dia mengampunkan segala dosa untuk sesiapa yang bertaubat dan meninggalkannya, walau bagaimana besar dan banyak sekalipun dosa tersebut. Sekalipun bagaikan buih di lautan”. (Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/74, Beirut: Mussasah al-Rayyan).

Maka tidak ada kecewa bagi insan yang berdosa. Sekalipun kadangkala ada dosa yang tidak dapat dimaafkan oleh perasaan insan lain, namun Allah tidak pernah menutup pintunya selagi insan yang berdosa itu insaf, benar-benar kembali kepada-Nya.

Saya bicarakan tajuk ini, sesuai dengan suasana puasa. Juga agar perbincangan agama, janganlah menyebabkan manusia ini kecewa dengan diri mereka dalam mencari jalan pulang ke pangkuan Tuhan.

Agama ini begitu lunak. Pintu untuk mendekati Tuhan tidak pernah hanya dikhususkan untuk orang tertentu semata. Bahkan sesiapa sahaja yang menerima Islam ini dan berusaha mendekatkan diri dengan jalan Rasulullah maka dia akan sampai ke dalam rahmat Allah.

Tiada perbezaan antara mufti, ustaz, imam dan orang biasa. Tuhan tidak pernah menilai insan dengan gelaran-gelaran yang diberikan oleh sesama manusia. Dia melihat keluhuran jiwa dan kesahihan amalan. Entah berapa ramai orang biasa lebih mulia di sisi Tuhan dibandingkan mereka yang bersandar dengan berbagai-bagai gelaran dan pangkat. Jalan pulang ke pangkuan Tuhan tidak pernah mendiskriminasikan manusia.

Kadangkala amat menakutkan kita mendengar ucapan sesetengah orang. Saya pernah mendengar seseorang menyebut “dosa- dosa si polan tidak akan diampunkan Allah.” Ringan perkataan itu di lidah kita, amat berat kesalahannya di sisi Allah.

Sejak bilakah pula kita menjadikan wakil Tuhan dalam memutuskan rahmat atau kelaknatan di kalangan hamba-hamba-Nya. Kita menolak manusia ingin kembali dataran keampunan Allah hanya kerana emosi kita, sedangkan Allah sendiri mengisytiharkan keluasan rahmat-Nya untuk semua.

Marilah kita berkempen untuk manusia mendapatkan rahmat keampunan Allah ini. Bukan untuk orang masjid dan surau sahaja, tetapi juga semua muda-mudi di jalanan, artis di pentas, pemimpin di gelanggang politik dan seterusnya. Jangan menghukum seseorang itu sebagai tidak berpeluang menerima rahmat Allah sedangkan roh masih di jasadnya dan hukuman Allah belum pun kita tahu.

Nabi bersabda: Jika seseorang berkata: Binasalah manusia, maka dialah yang paling binasa. (Riwayat Muslim). Hadis ini bermaksud apabila seseorang berkata dengan tujuan merendahkan orang lain dan membanggakan dirinya seakan orang lain tidak mendapat kerahmatan, maka dialah akan dibinasakan Allah. Dakwah agama hendaklah merentasi sempadan-sempadan yang dibikin oleh kita. Rahmat Allah mestilah disebarkan ke semua daerah hidup yang pelbagai. Sama ada yang berada di gelanggang sukan, di pentas filem, di medan politik atau apa sahaja.

Janganlah perbincangan agama hanya menggambarkan seakan semua manusia akan memasuki neraka semata, lalu kita lupa Allah ialah Tuhan Yang Maha Rahmat. Ungkapan-ungkapan agama ini adalah ungkapan memberikan harapan, bukan menimbulkan kekecewaan.

Sehingga dalam hadis Nabi bersabda: Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya – dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya-dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hamba-Ku in, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini bukanlah menggalakkan manusia melakukan dosa, tetapi menceritakan hal seorang hamba yang bertaubat bersungguh-sungguh namun gagal mengawal dirinya lalu tetap terjatuh ke dalam dosa. Setiap kali berdosa, dia ikhlas memohon keampunan dan dia tetap diampun oleh Allah s.w.t.

Hadis ini memberikan semangat kepada mereka yang telah bersalah berulang kali untuk terus bertaubat bukan berputus asa dan terus mengikut jejak langkah syaitan. Walaupun barangkali orang lain akan menyebut kepadanya “tidak guna kau bertaubat, sudah berapa kali kau tetap gagal kekal atas taubatmu”, namun Allah tidak berkata demikian. Dia Yang Maha Pengampun tetap membuka pintu selagi hamba-Nya itu jujur dan ikhlas merintih kepada-Nya.

Jika Allah menutup pintu, maka kekecewaan akan meliputi jiwa hamba yang seperti ini dan akhirnya dia akan terus tenggelam dalam kejahatan. Namun dengan dibuka seperti ini, insan akan terus berusaha kembali kepada Allah setiap kali tergelincir.

Saya amat hairan, ada agama tertentu yang dikatakan mempengaruhi emosi sesetengah anak-anak muda kita disebabkan unsur kasih sayang dan rahmat berkenaan yang ditonjolkan dalam agama. Seakan anak-anak muda kita tidak pernah mendengar tentang keluasan rahmat dan keampunan Allah dalam Islam ini. Lalu mereka pun kagum dengan agama lain dan melupai agama sendiri yang diturunkan Allah ini.

Adakah kerana mereka tidak mempelajari ajaran Islam yang betul? Ataupun kempen kita kepada Islam kurang menonjolkan unsur-unsur kerahmatan agama ini?

Hendaklah kita sedar, dalam dakwah baginda Nabi bukan hanya diceritakan balasan neraka, namun diceritakan juga kenikmatan syurga. Bukan hanya tentang kemurkaan Allah kepada yang menderhakai-Nya tetapi juga rahmat-Nya bagi yang kembali kepada kepada-Nya.

Firman Allah dalam surah al-Hijr 49-50: (maksudnya) Khabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku (Wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh). Dan bahawa azab-Ku, adalah azab yang tidak terperi sakitnya, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaan).

Di suasana Ramadan ini, semoga taubat mempunyai ruang yang besar dalam hidup kita. Manusia disuruh takut melakukan dosa. Namun jangan kecewa jika tersilap. Di samping insan juga hendaklah selalu beringat, bahawa dosa yang terlampau setelah diberi peringatan, boleh menghilangkan ingatan insan untuk kembali kepada Tuhan.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 6-7: (maksudnya) Sesungguhnya orang-orang yang ingkar itu, sama sahaja kepada mereka: Sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman. (Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka, pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.

- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
E-mel: moasriza@yahoo.com
Layari http://drmaza.com/