Petang semalam ada tetamu ziarah di rumah. 2 pasangan suami isteri. Dengar kata mak mereka anak buah bapak yang asal dari Bendang Dalam.Tapi mereka pun membangsat(merantau) ke Perak.Tapi aku tak pasti di bahagian mana Perak.
Lama jugak mereka di rumah.Bila mereka balik dah hampir 6.30 petang.
Esok pagi Sabtu mak ke sekolahnya di Sg Kepar,Simpang Empat Semanggol.Ntah ada urusan pagi tu.Tinggal kami 5 beradik di rumah(later on jadi 8 beradik). Mak dah pesan selagi dia belum balik dari sekolah aku dan adik-adik jangan pergi bermain di rumah orang dulu. Petang nanti tak apa kata mak.
Tiba-tiba adik bagi tau: "Abang, orang jumpak rokok belakang pintu nak pi dapoq!"
Aku bergegas pergi tengok.Memang ada sekotak rokok Pall Mall yang tinggal 2-3 batang dan sekotak mancis. Aku ambil dan beritahu adik : "Mai kita hisap rokok nak?"
Adik perempuan aku protes. "Mak balik sat lagi orang habaq kat mak hang hisap rokok" sambil mencekak pinggang.
"Laa...jangan la habaq kat mak.Abang nak try saja"
"Mana boleh budak-budak hisap rokok!"
Aku buat tak tahu saja.Aku keluarkan sebatang dan mencucuh puntung rokok.Inhale dalam macam yang aku tengok tetamu buat semalam.
Koh!Koh!Koh! Batuk.Macam nak pecah dada.Tekak rasa macam pahit dan terik.Aku sedut lagi.Tak batuk. Adik Yazi sambut dan sedut.Batuk.
Selepas 2-3 puff aku lempar rokok ke tanah dan sambung bermain di laman. Lupa langsung tentang 'dosa' tadi.
Dari jauh nampak mak berbasikal balik ke rumah.Mak kalau ke sekolah akan menaiki basikal sampai ke jalan besar di depan kampung lalu akan naik bas untuk ke Sg Kepar.Basikal akan mak letak di bawah pokok ceri kedai mamak roti canai.Memang di situ port basikal kalau sesiapa nak ke Taiping menaiki bas.
"Mak balik!Mak balik!", jerit Bali dan Pek.Mungkin mak ada beli gula-gula atau biskut atau buah untuk kami.Kadang-kadang bila musim mempelam di kawasan bendang di Semanggol mak akan bawa balik buah mempelam.Kadang-kadang mak beli.Kadang-kadang orang kampung berikan pada guru-guru di SK Sg Kepar. memang orang-orang Banjar di sana pemurah hati.Walaupun 'urat marah' mereka cepat short circuit.
Adik perempuan aku tanpa membuang masa meberi lapuran kilat semasa mak menolak basikal ke bawah rumah.
"Mak...tak sat bang Sham ngan Yazi hisap rokok!"
"Hisap rokok? Ambik di mana?", mata mak memandang tajam pada aku. Aku kelu.kaku. habis lah aku hari ni.gerenti kenancubit atau rotan.
"Amboi...kecik-kecik dah pandai nak isap rokok noo...Pak hangpa pun tak hisap rokok hangpa tau ka?".Kami diam.
"Mai masuk semua...mak nak bagi hadiah kat abang hang!".Aduh! nahas aku.
"Yazi! Nah hang ambik tiga kupang ni, hang pi kedai Kelantan hang beli curut cap ikan maih(Ikan Emas) sebatang".Yazi akur. Aku diam saja. Apa mak nak buat dengan curut ikan maih?
Lepas 10 minit adik aku balik.Hulurkan curut pada mak.
"Mai sini semua anak mak...".suruh mak.kami bersila di depan pintu di keliling mak.jadi macam halaqah di masjid.
"Sapa isap rokok tadi ni?" tamnya mak semula.
"Cek ngan Yazi:"aku mengaku.Tunduk.
" Jadi hang ngan adik hang nak isap sangat lah! Mai mak bagi hangpa isap puaih-puaih(puas-puas).Nah!Ambik cerut ni !Hang cucuh api hang isap!",tegas suara mak.Suara seorang cikgu.
Aku capai cerut ikan maih. Alu letak di bibir dan Yazi nyalakan api. Cerut berasap.bau busuk menusuk hidung.
"Hah!Isap lekaih! Lekaih aku kata!" meninggi suara mak.
Aku sedut.
Ping!! kepala jadi pusing.Mabuk.Satu rumah jadi memusing macam helicopter.Keneneng. Aku rasa mual.Loya.Nak muntah.
"Mak!Cek tak mau dah mak!Cek penin...",rayu aku.
"Hang isap la ni sampai habih!",mata men menjegel. "Hang pun sama Yazi"
Yazi pun sambut sambil menunjuk muka cemas.Mana tak cemas.Dia dah nampak effect yang aku alami.
"Mak! Tak mau lagi mak!Cek sumpah cek tak isap rokok lagi dah mak....cek sumpah mak!",rayu aku. Aku termuntah.bau dan rasa cerut yang amat busuk membuat mulut jadi pahit dan payau bercamput baur.
Aku tengok Yazi pun dah macam penin lalat. Aku baring.Seluruh rumah rasa memusing.
"Mak...cek tak mau lagi isap ni mak...."
Mak ambil cerut dan padam kan.
"Lain kali jangan dok mengada nak isap rokok.Tak padan kecik dah pandai noo..."
Aku dan Yazi menangis.rasa siksa sangat kesan cerut ikan maih.
"Nizah!Hang pi ambik bantai ngan minyak cap kapak mai sini"
Nizah akur.2 bantal di bawa keluar dan sebotol minyak kapak.mak suruh aku dan Yazi baring atas bantal dan mak sapu minyak kapak di kepala dan dahi kami.
Aku tak hisap rokok sejak itu sehingga lah aku masuk UM.
Tren dari KL Station ke Utara agak lenggang.Tidak seperti waktu cuti sekolah atau musim perayaan.Memang bagus semester break tidak serentak cuti sekolah.Aku duduk bebas dalam mana-mana koc.Ke hulu ke hilir.Ke koc canteen.
Bila gian nak mengemput(istilah bagi nak merokok)aku akan ke hujung koc di mana pintu koc terletak.Aku buka pintu koc dan biar udara dan angin dari luar masuk memukul muka.Nyaman.
Sebatang Marlboro aku keluarkan dan aku hidu dari hujung ke pangkal.Uh! Harum bau tembakaunya.Aku nyalakan rokok dan sedut.Segar.Sambil aku mundar mandir dari pintu kiri ke pintu kanan.Kadang-kadang aku menyanyi kecil untuk hiburkan hati.Selalunya bila naik keretapi aku suka nyanyi lagu Ekspress Rakyat oleh Kembara. Trio M.Nasir,A.Ali dan S.Sahlan.
Dalam sedap menikmati Marlboro tiba-tiba pintu antara koc di tarik dan muncul seorang wanita pertengahan umur.Dia menjeling aku dan patah balik ke dalam.Alamak!Cikgu Gayah jerit hati kecilku.Kantoi aku kali ni.Cikgu Gayah adalah rakan mak di Kg Pinang Taiping.Kawan karib.Lebih dari karib.Dah macam dua beradik.Walaupun mereka mengajar di sekolah yang berlainan,mak dan Cikgu Gayah kamcing kerana sama-sama terlibat di Madrasah Kg Pinang.
Bila tren sampai di stesen Taiping,aku bergegas turun dan keluar dari stesen untuk ke stesen bas yang lebih kurang 2.5 km . Setelah pekena ais bubur chacha di bawah Larut Matang Super aku tunggu bas untuk ke Kg.Pinang.Hajat nak ronda-ronda aku ketepikan dulu.Esok saja.Boleh ke bandar Taiping dengan basikal.
Sampai di rumah mak dan adikadik ada.Aku salam dan cium tangan mak.Aku cari bapak di belakang rumah.Bapak seperti biasa menebas itu ini.Mencatas itu ini.Memberi ayam makan.Aku salam bapak.
Malam lepas makan mak tanya aku: "Hang balik naik apa tadi?" "Reta api mak" "Hang la ni makan rokok ka?"
Kantoi aku.
"Ha...ada la sikit-sikit" "Tadi Mak Gayah talipon bagi tau nampak hang makan rokok lam reta api"
Aku senyap.Mata pandang ke lantai.
"Hang bukannya gherja lagi.Jangan la dok beli rokok.Duit pak hang hantaq sikit-sikit tu toksah lah membaziaq dok beli rokok."
"Cek beli duit biasiswa mak...." "Duit biasiswa lagi la tak boleh beli rokok.Basiswa tu habuan hang mengaji di sana..."
Aku diam..Tak boleh nak kata apa. Akhirnya mak tahu anak dia bukan saja belajar ilmu sains....tapi jugak belajar merokok.
1980.Pagi Ahad. Stesen Keretapi Taiping. Platform ke Selatan.
"Hang belajaq elok-elok.Jaga diri di sana. Jangan sombong dengan orang lain."Pesan Mak kat aku semasa sedang tunggu keretapi dari Utara untuk ke KL.
Aku angguk mengiyakan pesanan mak.Adik-adik yang ikut ada yang duduk di bangku kayu ada yang berjalan ke hulu ke hilir sepanjang platform di stesen keretapi tertua di Malaysia.
Pagi itu tidak ramai yang ke selatan. Seringnya ramai suka mengambil tren malam. Bapa akan bersama aku ke KL. Ini pertama kali aku akan ke KL.Kalau bapak tak ikut serta mungkin aku akan gabra bila sampai di sana.
KL bukan Alor Setar.Bukan Sungai Patani.Bukan Taiping. Aku tak tahu apa-apa langsung tentang KL. Dan tak ada saudara mara di sana yang akan tunggu di stesen keretapi atau stesen Puduraya. Adik aku ada di KL.Tapi dia di RMC Sg Besi dalam Form 4.mana mungkin dia boleh keluar dari RMC begitu saja.
Dengan bapak menghantar aku rasa yakin sedikit.Aku tahu bapak dan mak pernah tinggal di KL semasa awal tahun 60an dulu.Di Datok Kramat.Masa tu bapa di salah satu kem tentera di KL.Jadi bapak familiar lah dengan KL walaupun telah berbelas tahun kami berpindah ke Taiping.
Loceng berbunyi kling..klang...kling...klang. Seorang lelaki India berbadan tegap masuk ke kawasan berpagar di platform dan mula menarik batang-batang 'gear' yang mengawal trek tren. station master keluar dari biliknya dan berdiri di hujung platform. seorang lagi kakitangan memegang dua bendera.Merah dan Hijau.
Orang ramai mula berkumpul di platform. yang sedang minum tergesa-gesa membayar harga minuman. Yang di gerai majalah meletak semula majalah dan suratkhabar yang telah di browse tanpa membeli sambil di perhati oleh mamak tuan punya stall.
Di platform semua memerhati ke arah utara. Kelibat tren muncul dari jauh dan semakin membesar dan bunyi semakin membingitkan dan platform mula bergegar bagai di landa gempa berskala 2 Ritcher.
Bila tren melintasi platform ,station master menghulur tangan kiri ke ats dan driver tren menyarungkan sekalung alat berbeg.Pengangkat bendera menaikkan bendera merah. Akhirnya tren berhenti dan bendera hijau di angkat.
Aku bersalam dengan mak dan mencium kedua tangan mak. Adik-adik datang bersalam. mereka tahu abang mereka akan ke KL untuk menyambung pelajaran. Aku berharap ini akan memotivasikan mereka untuk berusaha keras agar mereka juga layak belajar setinggi yang termampu.
" Mak ,doa kan cek naa...."pinta aku pada mak.Mak angguk.Dan aku tahu mak bangga anak sulong dia dapat masuk ke Universiti. "Hangpa belajaq elok-elok na...jangan nakai-nakai sangat di rumah. Homework mesti buat!" pesan aku pada adik-adik. Angguk-angguk dari mereka.Tiada geleng-geleng.
Aku dan bapak mendaki ke dalam koc tren.Kelas 2. Bapak guna waran pencen. Dalam tren ketika itu free sitting. Koc agak kosong.Kami pilih tempat duduk dan meletak beg di hujung kaki.Aku kembali ke pintu loc dan melambai2 pada mak dan adik-adik.
Hon tren di bunyikan. Bendera merah naik semula dan tren mula bergerak perlahan-lahan mendapatkan momentum. Aku menjengok kepala melalui pintu sehingga tren membelok dan mak serta adik-adik hilang dari pandangan.Stesen Taiping pun hilang selepas tren membelok di lintasan Kg Boyan. Tren semakin laju dan bergerak ke kiri ke kanan sehingga kami sebati dengan pergerakan itu. Kami melepasi Kg Boyan,Kota West,Air Kuning, Bukit Berapit dan 2 terowong panjang yang merentasi bukit-bukit di sana sambil tren menjadi perlahan ketika mendaki.
Menuruni bukit ,tren melalui Padang Rengas sebelum berhenti di Stesen Kuala Kangsar. Sepanjang perjalanan aku banyak di pintu tren. Membiar angin memukul-mukul muka. Macam budak-budak.Atau kata kawan-kawan aku: macam Jakun. Jakun pun Jakun lah. Atau kata kawan-kawan jugak: macam orang perak(sebutan pe-ghak.Bukan sebutan Perak).Peghak pun pegahk lah...memang masa tu aku peghak dan jakun pun.nak nafi apa lagi.
Bila penat aku ke kerusi. Bapak dan aku tak banyak bercakap.Memang begitu lah aku dengan bapak. Bercakap bila perlu dan ada hal penting.Tapi kami macam faham antara satu sama lain.Bapak kata kalau nak makan ada bekal makanan yang mak dah siapkan Adalah sedikit nasi dan lauk serta yang wajib bila orang Melayu berbekal iaitu telur rebus. Dengan cara itu dapat jugak berjimat.Makanan di kantin tren amat mahal.Dan selalunya tak sedap.
Pemandangan kiri kanan tren memang menakjubkan bagi seorang yang peghak macam aku. Kadangkala ada hutan dan bukit bukau.Kadangkala kawasan perkampungan yang kita boleh lihat orang berbasikal atau bermotorsikal.Makcik-makcik menyidai kain.Kanak-kanak bermain atau memanjat pokok buah.Kadangkala di tepian kawasan lombong.Ketika itu masih terdapat kapal bijih timah di tengah2 lombong. Kadangkala trek tren parallel dengan jalanraya dan kita dapat melhat kereta.lori dan motosikal seolah-olah berlumba dengan tren. Seringnya kita melihat belakang rumah orang bila tren melalui bandar2 kecil.Anak-anak kecil berdiri beramai-ramai di tepi trek sambil melambai-lambai kepada penumpang.
Menjelang petang aku mula nampak rumah-rumah kedai dan taman perumahan.Tren sudah mulai memasuki KL melalui jalan antara Selayang -Kepong( I knew that later) dan Segambut. Dari Segambut aku lihat begitu banyak bangunan-bangunan pencakar langit di sebelah kiri trek. Di sebelah kanan ada kawasan berbukit-bukit tiba-tiba bapa bersuara: "Tu...yang tu ataih bukit tu bangunan Bank Negara". Aku cuma angguk.Di sebelah kanan kelihatan bangunan DBKL dan kemudian nampak Bangunan Sultan Abdul Samad serta Selangor Club.Bila tren mula perlahan bapa tunjukkan Masjid Negara pada aku di sebelah kanan kami sebelum tren masuk ke Station KL( masa tu tak ada KL Central lagi.Malah Central Market pun belum ada..cuma bekas pasar yang dah kosong).
Kami turun dan aku kagum dengan Stesen Keretapi KL.Sangat besar dan indah reka bentuknya.Moorish style.Orang agak ramai. Platform yang kami turun ramai yang mahu ke selatan dan Singapura. Sambil menggalas beg pakaian aku dan bapak turun ke terowong jalanan untuk menyeberang ke lobby Stesen. Itu lah kali pertama aku masuk terowong subway walk. (Benda tu mana ada kat Aloq Staq,SP atau Taiping.)
Dari lobi stesen kami keluar. Di hadapan kami bangunan ibu pejabat KTM yang jugak cantik dan di hujung kanan melepasi round about aku nampak sebahagian dari Masjid Negara. Kami melintasi jalan dan menunggu bas atau teksi.Kata bapak: "kita pi dok rumah tumpangan kat Kg Baru ".Aku ikut saja.
Memang aku terasa amat jakun,peghak dan cangok yang teramat sangat. Kenderaan yang lalu lalang amat banyak bagi aku.Apa lagi ketika kami naik bas mini orang bersesak-sesak dan sepanjang jalan dari Stesen KL ke Batu Road kereta dan motorsikal paling banyak aku pernah lihat.
Ketika itu Batu Road dan TAR masih dua hala jadi bayangkan kesesakan di situ.Aku lihat orang-orang KL kebal-kebal belaka.kalau nak melintas jalan pakai redah saja tak payah tengok kiri kanan pasti kereta atau bas mini akan berhenti bila orang melintas. Dahsyat bisik hati aku masa tu.
Di Batu Road/Chow Kit aku dan bapak turun.Bapa tanya nak makan ke tak tapi aku rasa macam dah kenyang melihat suasana KL. sebab aku tak mahu makan lagi bapak ajak check in ke rumah tumpangan yang terletak berhadapan KL International Hotel.Terdapat berderetan rumah tumpangan murah di situ dan di situ pun tak sesibuk atau sebingit batu Road tadi.kami ambil sebuah bilik. Selepas meletak beg bapak mandi dan solat.Aku pulak keluar dan tercongok kat depan rumah tumpangan sambil melihat skyline KL yang penuh dengan bangunan-bangunan tinggi. Aku macam tak percaya aku akan tinggal di KL buat beberapa tahun ini.Aku tak tahu bagaimana aku akan cope dengan KL.Adakah aku akan di dakap dan di telan oleh KL dengan banyak cerita-cerita sensasi yang aku dengar dari mulut kawan-kawan dulu? Atau aku akan mampu bersahabat dengan KL tanpa tersesat?
Selepas solat bapak bawa aku bersiar-siar di sekitar Kg Baru dan Chow Kit.melihat pasar-pasar peniaga Melayu di situ.Kami berjalan sehingga ke Pertama Kompleks melalui Pawagam P.Ramlee(selepas 3 tahun baru di robohkan). Bapa tunjukan aku bangunan-bangunan cantik di KL dan tunjukkan aku bagaimana nak naik bas mini ke mana dan ke mana.
Bila menghampiri maghrib,kami pulang ke rumah tumpangan.Bapa membeli sejenis makanan yang aku tak pernah lihat seumur hidup. Aku tengok berketul-ketul di rebus dan di cicah sos pedas.Rasanya pelik bila pertama kali aku makan.Rasa macam hanyir.Bapak kata inilah Yong Tau Foo. Itu lah pertama kali aku makan Yong Tau Foo( yang kini jadi favourite food aku dan Hafiz).Aku tidur awal kerana keletihan.
Selepas subuh bapak kejutkan aku. Aku mandi dan bersiap. Bapak bawa aku bersarapan di kawasan pasar Chow Kit. Lepas tu bapak beli sedikit buah-buahan dan kami kembali ke rumah tumpangan.Kami check-out sebelum bapak mendapatkan teksi.Untuk ke UM.
"Kami nak ke Universiti Malaya ya..."kata bapak pada pemandu teksi. "Boleh...anak abang ke ni?Dia dapat masuk U?" "Ya..anak sulong saya" "Bagus...bagus...kamu kena belajar rajin-rajin tau.Jangan sia-sia peluang ini.Saya pun ada anak tapi kat UTM.Dia buat kejuruteraan.kamu dapat belajar jurusan apa?" "Err..saya dapat Asasi sains pakcik.macam matrikulasi lah" "Hah...lepas tu nak buat apa?Doktor?Engineer?" "Tak tahu lagi pakcik...saya pun tak sangka dapat UM sebab saya dok aim UTM dan ITM" "Tak apa...kamu belajar elok-elok.nanti kamu tahulah jurusan apa nak ambil"
Teksi melalui semula di hadapan Stesen KTM yang kami singgahi semalam.Kemudian bapak tunjukan Muzium Negara di sebelah kanan kami. Kemudian melalui Bangsar dan Kg Abdullah Hukum yang aku lihat banyak rumah setinggan.Di depan tersergam bangunan besar yang sering di lihat di TV. "Hah!Tu dia Angkasapuri!" jelas pakcik drebar teksi.Mulut aku terlopong bagaikan huruf 'O'.
Alkhirnya teksi membelok kanan dan menempuhi bulatan round about kecik sebelum terserga di depan aku pintu masuk UM.Pak guard menghentikan teksi.bapak beritahu tujuan kami dan tunjukan surat tawaran Asasi sains. pak guard tanya pakcik teksi samada dia tahu Asasi sains atau tidak.pakcik teksi angguk tahu dan membawa kami ke sana. Bila sampai di Pusat Asasi Sains(PAS) bapak bayar tambang dan kami tercegat di foyer bangunan. Ada seorang pelajar lalu lalang di situ dan bapa bertanya di mana pejabat PAS. Pelajar itu bawa kami ke sana dan berjumpa kerani. setelah selesai urusan pendaftaran dan di beritahu aku dalam kumpulan mana serta jadual kuliah,tutorial serta makmal aku di arahkan ke Pejabat HEP untuk urusan penginapan.
Pelajar yang menolong tadi masih ada di luar pejabat dan di memberi arah bagaimana hendak ke Pejabat HEP.Di pejabat HEP aku di beritahu penempatan aku ialah asrama Kedua(2nd RC) atau 2nd College. Yuran-yuran bapak jelaskan apa yang wajib dulu.Baru aku tahu banyak belanjanya bila nak masuk universiti apa lagi kita tak tahu samada dapat biasiswa atau tidak ketika itu. Bila dah tahu di mana 2nd College kami dua beranak berjalan ke Asrama Kedua merintasi tasik UM.Aku di beri bilik di blok A top(tingkat atas) dan roomate aku ialah pelajar Pergigian tahun 1, Ahmad Temizi.
Selepas mengemaskan katil dan memasukkan pakaian ke almari,bapak mandi dan solat. Kemudian kami ke Kedai Buku UM untuk membeli buku-buku teks serta bahan-bahan belajar.Beratus-ratus juga yang bapak belanjakan untuk itu.Aku menaruh azam tak akan mengecewakan bapak dan mak. Dengan menghantar aku ke universiti aku tahu banyak belanja yang bapak dan mak keluarkan.Entah-entah hampir habis simpanan bapak yang tak seberapa(bapak cuma pencen prebet askar dengan pencen about RM 200 pada masa tu). I must not fail them.Itu azam aku.
Malam itu bapak bersetinggan di bilik aku.Alhamdulillah roomate aku faham( dia pun budak kampung jugak). Seorang demi seorang datang ke bilik aku bila mereka tahu ada pelajar baru di floor itu.Ada pelajar senior dari KSAH dulu yang aku pernah tengok. Ada beberapa orang Kedah yang membuat aku tidak terasing .Dan jiran aku yang sama-sama Asasi iaitu Ujang dari Kg Gedangsa( Ujang dan keluarga baru 2 hari lalu datang menziarahi aku di Melaka) serta terjumpa dengan pelajar yang membantu kami di pejabat PAS tadi iaitu 'Ud dari Kg Tualang Pokok Sena(kini orthopaedic surgeon di Hospital Alor Setar).
Bapa tinggal selama dua hari di UM dengan aku. Ramai pelajar yang datang berbual-bual dengan bapak dan bapak pula bila waktu solat sering ke surau di 2nd College. Tindakan bapak membuat aku dapat ramai kenalan kerana bapak memang dari dulu down to earth(mungkin kerana bapak tak belajar tinggi dan dari keluarga yang susah).bapa juga berjumpa dgn rakan lama semasa beliau dalam British Army di Singapura dulu yang kini mengemdali kantin di 2nd College,Pak Usop.
Aku telah mulai masuk kuliah dan tutorial.Memang satu cultural shock bagi aku waktu itu. pelajar-pelajar dari KL dan PJ serta dari asrama penuh 95% speaking Mat Saleh! Aku jadi gabra. mana pernah aku 'meyeleh'(cakap Mat saleh) di KSAH dulu kecuali bila Kelas English. Yang dari Kelantan cakap Kelantan.Yang Trengganu cakap ganu. Yang dari Johor pula cakap : Ape..kite..berape...tak ade..... Ini semua baru bagi aku tapi aku tahu aku boleh sesuaikan diri. yang masaalah ialah bila budak-budak perempuan 'menyeleh' dengan aku.Aku main angguk kepala saja.Aku faham apa yang mereka cakap cuma aku kurang yakin dengan pronounciation dan ayat-ayat aku yang berterabur tanpa mengikut hukum hukum bahasa Inggeris.
Selepas dua hari bapak kata dia nak balik Taiping.Dah lama sangat dah kata dia.Kena balik tengok adik-adik hang sama.Petang tu aku kebetulan tak ada makmal jadi aku ikut bapak ke Stesen KTM.Bapak dah ada waran tiket.Kami berjalan dari asrama ke masjid ArRahman dan menaiki Bas Mini.
Di Stesen KL, bapak banyak berpesan: Belajar sebaik mungkin sebab itu saja yang dapat bapak bagi kat hang. Jangan sombong dengan orang.Kena pandai bawa diri.Jangan cari musuh.Jangan lupa solat(yang ni aku jarang ikut pesanan bapak).Sekali sekala tulis surat ke rumah supaya mak tak risau sangat.
Akhirnya tren ke Utara bergerak jam 3.00petang.membawa bapak balik ke taiping. Tinggal aku berdiri seorang di platform 1.melihat tren semakin menjauh dan akhirnya hilang dalam terowong Dayabumi. Aku melangkah keluar dari stesen.Aku tidak gentar lagi.
KL kau dakaplah aku tapi jangankau sesatkan aku.Aku tak mahu sesat di Kuala Lumpur.
Sesat di Kuala Lumpur Lagu/lirik: M.Nasir Nyanyian:M.Nasir
Dengan telegram tersebut di tangan badan ku terasa amat ringan.Rasa terapung di udara.Rasa high.Rasa stim.Rasa dunia ini ana yang punya.
"Ha! Hang dapat pi mana?" tanya C.C. "Dapat pi UM.Asasi Sain.Ni bapak saja hantaq mai".Senyuman ku terasa bagai senyuman paling menaruk di dunia masa tu.Aku terasa aku pelajar terhandsome di KSAH pada ketika itu.
"Tahniah kat hang. Sat ni saya buat surat apa yang perlu.Elok hang naik jumpa HM dan bagi tau dia"
Aku naik ke tingkat atas pejabat dan mengetuk pintu bilik HM.Aku masuk dan Pak Pa mendongak melihat aku.
"Assalamu'alaikum che'gu...." "Wa'alaikum salam. Hah ada apa lamu mai jumpa saya ni?" "Saya nak bagi tau saya dapat masuk Asasi sains che'gu. Ni nak minta izin nak balik Taiping pasai tak tau bila nak kena pi Kolompo" "Hang talipon la tanya ayah hang" " Rumah kami tak dak telipon che'gu"
"Takpa...nanti turun jumpa CC dia akan prepare surat-surat yang perlu.Kamu pi jumpa guru tingkatan dan inform dia.Pi jumpa kawan-kawan mana yang perlu.Che'gu nak pesan sikit. Ambil peluang ini untuk belajar setinggi mungkin dan jadilah orang yang berguna kepada masyarakat."
"InsyaALLAH che'gu.Terima kasih kerana selama ni che'gu dan che'gu-che'gu yang lain dok tolong ajaq saya dan kawan-kawan..."Mata aku mula berair sikit.Tak macho langsung.macam cerekarama Melayu saja....
Petang itu aku naik bas pulang ke Taiping.
Aku ke kelas dan jumpa kawan-kawan yang rapat dan beritahu mereka aku akan ke UM. mereka pun seperti aku beberapa hari lalu. Seronok bila ada kawan yang dapat ke IPTA.Sayu kerana akan berpisah. Sedih kerana diri sendiri tiada khabar berita.Aku cari cikgu kelas di bilik guru.Dia ucapkan tahniah dan selamat berjaya.
Aku cari guru kelas semasa Form 5.Cikgu Hindun. Dia tersenyum lebar dengan berita ku. Dari anak mata Cikgu Hindun aku tahu dia bangga kerana anak didik dia berjaya juga.
"Belajar rajin-rajin ya Zulhisham. Jangan kecewakan harapan mak bapak kamu. Jangan kecewakan cikgu.Jangan bagi malu pada Kolej."
"Cikgu.....saya nak terima kasih kat cikgu pasai cikgu dok nasihat kami semua tanpa jemu. Cikgu layan kami sekelas macam anak sendiri.Saya terhutang budi kat cikgu.Akan saya ingat cikgu sampai saya mati.Saya janji cikgu"
Aku cari Ustaz Minhat tapi tak jumpa.Ah!!Mana pergi warden Asrama yang jaga aku sejak tingkatan 1 sehingga habis MCE? Adakah ustaz masih marah pada kami?Adakah ustaz masih berkecil dengan kami dengan insiden semasa MCE dulu? Mana pergi ustaz?Aku perlu bersemuka dengan ustaz.Aku perlu peluk cium tangan ustaz.Aku perlu ucapkan secara berdepan dengan ustaz bahawa motivasi ustaz yang membuat kebanyakan kami anak-anak asrama berjaya.Dan aku perlu dengar ustaz telah maafkan aku serta rakan-rakan lain.Maafkan 10 kepala samseng!!
Tapi ustaz tak ada.Aku harus segera.Nak kena balik ke rumah sewaan untuk ambil beg baju. Nak telifon Paksu di Sg Petani memberitahu berita gembira ini.Berita hebat.Berita pecah kepala. Tapi kelibat ustaz tak nampak-nampak jugak.
Aku ke pejabat dan dapatkan beberapa surat dan dokumen dari CC. Aku dan Annuar balik ke rumah sewaan di Pumpong.Aku peluk Annuar.Aku akan berpisah dari kawan karib ku.Teman sejak Tingkatan 2 -5. Aku ucap terima kasih kerana izinkan aku di rumah sewaan kami.
Dari dalam bas UT aku memandang bandar Alor Setar buat kali terakhir.Aku melihat sesak orang di Pekan rabu.Ramai berlonggok dan bertenggek di tepi longkang menjamu selera Mee Tonggek di sebelah Panggung Empire. Panggung Cathay dan sungai yang mengalir lesu di sebelahnya.tempat aku dan rakan-rakan menonton filem siri Confession of....dan gambar Melayu Esok Masih Ada.Dan Marathon Man.Aku melihat bangunan Pejabat Pos yang tersergam besar yang setiap bulan aku pergi untuk menukar money order yang bapak hantar setiap bulan dan deretan kedai pakaian sukan yang sering kami singgahi setiap minggu bila outing untuk melihat boots Adidas dan jersi Adidas atau UMBRO. Melihat Simpang Kuala,Tandop dan Sek Men Teknik(di mana adik aku masih di situ).Akhirnya Alor Setar dan daerah Kota Setar hilang dari pandangan.
5 tahun penghidupan aku sebagai anak rantauan di Alor Setar berakhir hari itu. Akan bermula hidup aku sebagai anak rantauan di Kuala Lumpur dan aku rasa gentar memikirkannya. Tidak pernah aku ke bandar yang lebih besar dari Alor Setar.Tak pernah aku melangkah kaki ke Kuala Lumpur sebelum ini. Adakah aku bersedia untuk Kuala Lumpur? Tapi aku tiada pilihan.
Telegram di pejabat sekolah. Kiriman dari bapak. Ringkas: BALIK SEGERA.DAPAT ASASI SAINS. Budak gelap tarik nafas lega. Akhirnya.At last.Finally. Dapat juga.
Sebulan sebelum tu aku dan rakan-rakan lain memulakan kehidupan Lower Six.Masih di KSAH. Beberapa hari sebelum tu telah berbincang dengan kawan-kawan tentang penempatan kami nanti. Mana nak tinggal sementara nak dapat masuk asrama semula. Sekurang-kurang 2 bulan terpaksa duduk menyewa luar.
Akhirnya kami menyewa di Pumpong.Berhampiran Watt Siam. 6 orang. Kami memulakan kehidupan Lower 6 dengan program Orientasi oleh pelajar Upper 6. Tiada masaalah kerana ramai pelajar Upper 6 adalah kenalan semasa aku Form 5 dulu.
Headboy ketika itu,Badrin datang berjumpa aku. "Aku nak hang jadi prefect semula" "Woih..aku tak mau la Badrin" "Mana boleh tak mau. Aku nak suruh hang jadi Headboy lepas ni..." "Ishh!!! Aku tak mahu jadi prefect apalagi Headboy.Mana tau kalau aku dapat masuk UTM ka,ITM ka..." "Dak lah..Sementara hang di sini hang jadi la prefect sat.Bantu-bantu kami ni...." "Macam ni lah Badrin...kalau aku tak dapat masuk mana-mana, baru aku jadi prefect.Sementara ni...biaq lah aku relax dulu.Boleh??"
Badrin setuju.
2 minggu selepas orientasi satu per satu pelajar makin berkurangan. Pelajar-pelajar yang semasa Form 5 di sekolah lain semakin hari semakin ramai datang memakai pakaian biasa berjumpa rakan-rakan mereka.Yang perempuan akan berkumpul kemudian akan terdengar jeritan kegembiraan.kemudian masing-masing memeluk antara satu sama lain.Kawan mereka sudah dapat surat tawaran ke IPTA.
Kawan-kawan aku sendiri mula datang ke sekolah membawa surat tawaran.Ada ke UTM.Ada UPM.Ramai jugak ke ITM. Sorang dua ke UM.Aku makin gelisah.Semakin hari semakin ramai kawan-kawan datang mengucapkan selamat tinggal.Rumah sewaan kami kini tinggal 3 orang.
Aduh! Macamana ni fikir aku.Dapat ke tak ni masuk mana-mana IPTA?Aku mula gelabah dan makin terasa sunyi. Badrin semakin lama merenung aku bila kami bertemu. "Ingat tau...hang janji kalau hang tak pi mana-mana hang kena jadi Headboy!"
Aku cuma diam.Keliru.Kawan-kawan yang dapat grade 2 kebanyakkan dah masuk ke UTM,UPM dan ITM(kursus-kursus Diploma).Aku yang 1st grader ni tak dapat langsung ke? Rasa gelabah dan kecewa meresapi diri.Tertanya-tanya juga kalau minggu depan tinggal aku sorang di rumah sewaan bagaimana?
Dalam 2 minggu hampir kesemua yang mendapat tawaran sudah meninggalkan KSAH. Kelas bagi Lower 6 sudah di mulakan.Aku menghadapi dilema.Nak teruskan di Science stream atau menukar kepada Arts Stream?
Hendak di Science stream terasa gentar kerana telah bertahun-tahun di takutkan dgn Science stream oleh senior-senior dulu. Nak tukar ke Arts stream pun takut juga kerana memang tak tahu apa-apa langsung perihal Arts stream ni.
Aku semakin tidak ceria. Agak sukar hendak senyum tak tentu pasal macam dulu-dulu.Nak berlawak bodoh pun jarang sudah.Kawan-kawan kamceng sudah 90% tiada lagi. Dan beberapa kelas yang di mulakan mula menampakkan keperitan.
Satu hujung minggu aku ke Sungai Petani ke rumah Paksu.Aku mengadu tentang semakin ramai yang meninggalkan sekolah untuk ke IPTA dan aku beritahu Paksu aku mungkin tidak survive dalam Form 6.Paksu mendengar dan memberitahu aku sabar.Nanti dia usahakan sesuatu. Esoknya Paksu bertanya samada aku berminat tak untuk buat TESL di Australia?Rupa-rupanya Paksu ada rakan sekolah lama di JPA dan dia menelifon rakan dia semalam jugak. Dan memang mereka baru membuka program untuk menghantar pelajar ke Australia pada Januari depan.
Aku teringat ketika di Form 5 dulu aku antara 8 calun yang melalui interview dan ujian bertulis untuk ke Australia( intake Januari 1980, even before result MCE keluar) tapi aku gagal.yang dapat pergi ketika itu hanya Fauzi,Mi Gila dan Izham aku rasa.
Adakah ini rezeki aku untuk ke Australia?Tapi kursus TESL? Aku tidak pernah bagus dalam English.Tidak pernah belajar kesusasteraan ketika di Form 4 dan Form 5. Tak apalah...asalkan aku keluar dari sistem HSC yang memang menggerunkan aku ketika itu. Aku setuju dengan cadangan Paksu .kami hanya perlu menunggu surat temuduga di KL.Kalau lulus aku akan di senaraikan untuk ke Australia.(Memang lulus temuduga dan di pilih ke Australia tetapi aku dengan rela hati menolak pada Oktober 1980)
Pada petang itu aku pulang ke Alor Setar.Ke rumah sewaan.Rakan lain pun dah balik dari kampung masing-masing.Mereka berbincang untuk memohon masuk ke asrama dan mengajak aku bersama.Jika tiada pilihan memang itu lah yang terpaksa aku lakukan. mana nak tahan bayar rumah sewa.Makan lagi. Takkan hari-hari nak makan nasi dengan sardin.Takkan hari-hari nak pekena maggi mee?
Kami bersetuju untuk memohon asrama esok.Kami akan jumpa Pengetua.Dan kami tahu kami akan di suruh menjadi pengawas sekolah.
Esok pagi sewaktu 3rd period aku mendapat arahan untuk ke pejabat sekolah. Apahal pulak ni? HM panggil ke?HM nak suruh aku jadi prefect ke?Mungkin HM nak offer aku tinggal di asrama kot.
Sesampai di pejabat,CC memanggil aku. "Nah! Ni ada telegram kat hang. Tak tau lah ada crita dia...mana tau kot-kot hang dapat masuk U ka..."
Aku cuba untuk senyum.Mana mungkin IPTA tahu mahu hantar telegram ke sekolah. Rupanya telegram dari bapak.Telegram berita gembira. BALIK SEGERA.DAPAT ASASI SAINS.
Telegram yang bakal mengubah hidup aku. ALHAMDULILLAH.