Showing posts with label LSS. Show all posts
Showing posts with label LSS. Show all posts

Wednesday, June 4, 2008

Terkenang semasa dulu....part4



March 1975.
Cuti penggal pertama sekolah.
Taiping Perak.

"Sham ....buka penggal dua nanti mak ngan bapak hantaq hang sekolah di Aloq Staq!"

Januari 1975.
Setelah tidak dapat masuk ke sekolah berasrama penuh(yang aku tahu hanya MCKK dan TKC saja ketika aku di darjad enam) aku di tempatkan ke sekolah LSS(Lower Secondary School) di Aulong.
Aku pun tak tahu kenapa aku tidak di masukkan ke King Edward VII seperti kawan-kawan yang lain. majoriti dari kawan-kawan di KE-2 Primary School di masukkan ke King Edward tapi aku dan 4-5 orang di tendang ke LSS.

Lalu aku di daftar ke LSS.Sekolah petang untuk Remove Class dan Form 1.Aku di masukkan ke Form 1 A.

Di sebabkan untuk menaiki bas ke LSS amat sukar(kena tukar bas) jadi aku dengan beberapa orang rakan sekampung ke sekolah dengan berbasikal melalui jalan keretapi yang memang lalu di depan rumah.Jarak rumah dan sekolah(melalui jalan keretapi) lebih kurang 4 batu.melalui9 kandang-kandang babi di Batu 2 dan melaui Cator Avenue dan Assam Kumbang. Selalunya aku ke sekolah dengan Aziz(Abu Hassan) yang tinggal di lorong sebelah tapi directly selang sebuah rumah dari rumah aku.

LSS sungguh istimewa. Waktu itu, ramai pelajar-pelajar remove di situ dari sekolah Kebangsaan atau Sekolah Cina. Dan watak-watak pelajar amat colourful. Selang seminggu pasti ada berita budak lari dari rumah yang merupakan pelajar LSS. pernah ada budak form 1 E( anak Cina dari remove class tahun sebelumnya) terpampang gambar dalam akhbar Cina .Di kantin di tampal gambar dan berita dia hilang.Aku amat ingat sebab aku pernah mengalahkan dia dalam 400m.

Setiap kali waktu rehat mesti ada yang bertumbuk.Atau sebelum sekolah bermula.Atau selepas sekolah. Selain itu budak LSS akan sentiasa menunggu seorang guru dari King Edward untuk datang mengambil isterinya yang mengajar di LSS.

Junjung. Itulah yang ramai 'samseng'LSS tunggu.Junjung adalah guru berbangsa Sikh dan isterinya guru form aku berbangsa Cina.Gelaran junjung kerana dia memakai serban.

Junjung terkenal dengan garangnya di King Edward.Ramai pelajar nakal yang selalu kena rotan atau pulas telinga atau ketuk ketampi oleh Junjung. Apa yang berlaku, pelajar-pelajar KE akan inform pelajar LSS.Jadi kalau ada kawan yang kena punishment Junjung di KE, akibatnya lagi 2-3 hari bila Junjung datang menjemput isterinya, dia akan di ejek atau kereta di balikng lumpur atau di calarkan.

Di rumah aku nampak mak dan bapak macam tension saja tapi aku tak tahu apa puncanya.
Di sekolah aku macam biasa. Alhamdulillah pelajaran okay dan aku paling suka bila subject Science terutama bila masuk ke Lab. Rasa macam jadi saintis pulak bila dapat buka Bunsen Burner.

Akhirnya cuti penggal pertama tiba.Seperti biasa aku dengan kawan=kawan kampong dan adik-adik asyik main bola.Kadang-kadang mancing ikan di anak sungai atau parit yang hampir dengan jalan keretapi.Kadang-kadang masuk hutan di seberang jalan keretapi untuk main combat-combat atau camping atau cari spider untuk buat lawan.
Atau naik basikal dari satu lorong ke satu lorong di kampong waktu petang atau ke Kg Jana(SK Long Jaafar) untuk lawan bola dengan budak-budak kampong Jana.

Beberapa hari sebelum penggal 2 di buka,satu malam lepas makan mak dan bapak dudok bersama aku.kata mak ada perkara yang nak beritahu aku.Aku jadi gabra. Apa yang aku buat? Ada orang komplen kat mak ka yang aku bawa basikal laju-laju?Atau ada orang bagitau mak aku gi mandi lombong ka?Atau pakcik kedai lorong 10 ngadu kat mak ka yang aku pernah 'cilok' tauhu mentah kan kedai dia ?Aduh....ni yang suspense ni....

Akhirnya bapak bersuara:"Sham ....buka penggal dua nanti mak ngan bapak hantaq hang sekolah di Aloq Staq!"

"Awatnya bapak?"

"Di sana hang sekolah yang elok sikit.Kolej Sultan Abdul Hamid.Tahun depan atau ujong tahun ni mungkin dapat masuk asrama"

"Awat cek tak boleh sekolah sini ka bapak?"

"Sekolah hat la ni kan disiplin tak elok....Kalau hang dapat KE dulu tak payah la nak pi sampai Kedah nu..."

"Okay lah bapak.Cek ikut macamana mak ngan bapak kata"
"Nanti hari Sabtu hang ngan bapak pi Aloq Staq.Sementara ni hang dok ngan Cik Jah hang di Gunung...."

"Mak tak pi sama ka bapak?"

Mak geleng kepala."Dak mak tak buleh pi.Adik-adik hang sapa nak jaga?Lagi pun mak nak kena ngajaq jugak"

Aku cuma angguk dengan penjelasan mak. Aku tahu bukan mudah mak dan bapak nak buat keputusan ini.Bukan mudah nak hantar anak tinggal bersama orang lain.Tapi mereka terpaksa kerana itu saja caranya agar aku dapat ke sekolah yang lebih bagus dari LSS.

Jadi pada hari Sabtu itu,aku dan bapak ke Alor Setar menaiki bas.Dari Taiping ke Butterworth(sana di panggil bagan) menaiki bas ekspress .Dari Bagan kami naiki Ekspress UTC yang berhenti di SP,Gurun dan Guar Cempedak sebelum Alor Setar.

Di Alor Setar kami naik bas Gunung di Bangunan Ukir(sekarang Starwalk)ke stesen bas baru.Agak petang baru kami sampai ke Gunung Keriang,rumah Cik Jah.
Bermulalah kehidupan aku sebagai anak rantau di negeri kelahiran ku.
Ini lah kali pertama aku ke Alor Setar.Selama ini hanya Sungai Patani dan kampong di Merbok sahaja.

Esoknya hari ahad, aku dan bapak ke KSAH untuk mendaftarkan diri.......

Ketika di Form 4 baru aku tahu kisah sebenar mengapa aku di hantar bersekolah di Kedah.Bapak yang ceritakan pada aku setelah aku bertanya.

Mak dan bapak kecewa bila aku di tempatkan ke LSS. Bapak ke Pejabat Pelajaran daerah dan bertanya.Bagaimana anak saya yang dapat 4A 1B dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah di tempatkan ke sekolah begitu?Yang track record tak elok langsung. Takkan anak saya tak boleh masuk ke King Edward sedangkan masa sekolah rendah dia di King Edward?
Jawapan yang bapak dapat amat mengecewakan.
Anak encik tak ada abang di King Edward jadi dia tak boleh masuk sana.Jawab bapak: Anak saya sulong...macamana nak ada abang di KE tu?
Kata pegawai di situ: Kita tak boleh tolong.Kalau nanti LCE dia elok mungkin dia boleh masuk KE..(ketika itu LSS cuma setakat Form3 saja.Tak ada Form4 ke atas)
Bapak argue lagi: takkan degan keputusan 4A 1B tak boleh ke KE? Budak yang keputusan dari anak saya dapat pulak ke KE.Saya tahu ramai yang tak ada abang di sana pun dapat masuk ke sana.Ramai anak-anak kawan saya dapat ke sana dan depa anak sulong jugak macam anak saya.
Saya bukan nya nak suruh tuan bagi anak saya ke MCKK atau MRSM atau Sekolah Sains...saya minta hantar anak saya ke King Edward saja.

Akhirnya kes aku di bawa ke Ipoh.Sama juga.Mengecewakan.Pejabat Pelajaran Perak tak dapat nak hantar aku ke sekolah yang lebih baik dari LSS.Akhirnya ada seorang pegawai di Ipoh memberi jalan kepada bapak dan mak.
"Anak encik ni di lahirkan di Kedah kan? Elok encik cuba dengan Pejabat Pelajaran Kedah mungkin depa dapat tolong budak ni"
Kata bapak walaupun aku di lahirkan di Kedah tapi aku sejak tadika sehingga tamat darjah 6 adalah di Perak. Apa kena mengena di mana aku di lahirkan?
Bapak jugak beritahu pegawai tersebut yang mak menjadi guru di kawasan-kawasan luar bandar di Perak sudah 10 tahun.Tak kan anak guru yang ngajar di Perak tidak boleh di beri kelonggaran?

Akhirnya mak dan bapak meminta pertolongan Pak Su yang mengajar di Sg Patani. mak ,bapak dan Pak Su ke Pejabat Pelajaran di Alor Setar dan memberitahu tentang hal persekolahan aku. memang Pejabat Pelajaran Kedah terkejut.Dengan keputusan yang ada mereka hairan mengapa Perak menganaktirikan aku?
"Tak pa encik....kalau Perak tak mau dia,kami Kedah nak ambik dia.Dia akan kami masuk ke sekolah berasrama.Encik nak sekolah mana? Sekolah Ibrahim?Badlishah Kulim? Atau Kolej di Aloq Staq?"

Akhirnya mak dan bapak serta Pak Su memilih KSAH untuk aku.
Aku merantau bukan kerana kecermelangan pelajaran.
Aku merantau kerana di deskriminasikan di negeri yang aku membesar sepanjang persekolahan rendah ku