Showing posts with label bunga api. Show all posts
Showing posts with label bunga api. Show all posts

Thursday, June 12, 2008

Terkenang semasa dulu.....part 6

1969.
Malam Raya
Kg Bujang ,Merbok.


Yeeeeeehhhh...esok Raya!
Agak riuh rendah di rumah Tok selepas berbuka puasa. Anak cucu sudah mula berkumpul sejak petang. Keluarga aku baru sampai petang itu dari Taiping dengan menaiki bas. Keluarga kami paling jauh yang pulang.keluarga Pak Tam tak pulang. Masa tu Pak Tam posting di Kucing.

Lepas makan kami kanak-kanak turun bermain di laman. Abang dan kakak saudara yang lebih besar mengeluarkan pelita dan botol-botol minyak gaih(minyak tanah).Minyak gaih di tuang ke dalam pelita dan di sangkut ke batang batang kayu yang telah di pacak beberapa petang lalu.

Dalam rumah Tok,mak dan makcik serta Tok sedang sibuk membuat ketupak dan kuih bangkit dan bahulu dan sampret daan rendang. Ada yang sedang pasang tirai tingkap(langsir).

Kami anak-anak mula keluarkan bunga api dan mercun.Tak ada mercun roket. Berhampiran pagar depan jalan kampung Bang Jon dan Bang Mi sepupu aku sedang memasukkan karbait(carbide) ke dalam batang besi(nampak macam batang besi katil dulu-dulu) untuk di buat meriam untuk 'bertarung' dengan anak-kanak lain di seberang jalan. Kami tak pernah main meriam buluh.Jadi meriam di buat dari batang-batang besi atau tin-tin Milo yang di buang punggung dan kami tanam ke dalam tanah supaya meriam tin Milo tak melayang bila meletup.

Kami yang kecil-kecil hanya di beri izin main bunga api.Mercun dan meriam tak boleh. Cuma boleh tengok dari jauh saja.Tapi Bang Jon dan Bang Mi kadang-kadang bagi jugak aku cucoh meriam atau main mercun yang mereka dah cucuk pada bilah lidi penyapu.Lepas di cucuh api pada sumbu mercun aku di suruh depang tangan supaya mercun tak meletup dekat muka atau tubuh.

Di antara rumah Tok dan rumah Mak Ndak( same compound) ada 3 barisan pokok getah(dan banyak di belakang kedua-dua rumah). Dengan idea kreatif yang aku ada, bunga-bunga api yang aku nyalakan aku lambung ke atas pokok getah agar batang bunga api(yang aku bengkokkan dalam bentuk J akan tersangkut dan nampak cantik .

Tapi memang malang tak berbau.Dalam melambung bunga api, sebatang telah terjatuh di atas bumbung dapur rumah Tok( rumah ibu beratap zink).Bumbung beratap rumbia.Tau-tau saja api menyambar atap. Kak Tinah dan Kak Ani terus menjerit panik.

"Bumbung tebakaq!Bumbung tebakap!"

Yang dewasa di dalam rumah pakat meluru ke tingkap menjengah kami kanak-kanak di bawah.

"Tebakaq? Mana?"
"Bumbung dapoq Tok! Tuu...api koi besaq"

Bang Jon yang sedang bermain meriam terus berlari ke arah rumah Tok.Bila dia nampak api di atap dia dengan pantas memanjat pelantar dapur dan para kayu yang ada di tepi dinding.Dengan pantas juga dia penarik lapisan atap yang terbakar dan membaling ke bawah.

Selamat rumah Tok dari terbakar malam Raya.Aku cuma berdiri kaku dan tak terkata apa.Cuma tercegat macam batang talipon.

"Sapa balin bunga api ataih atap?"

"Adik Sham yang balin......", sambil menunding jari pada aku.Aku tak ingat sapa yang dedahkan rahsia bencana tu.

"Sham!Hang mai sini! Mai naik ataih ghumah!", jerkah mak dari pintu dapur.
"Amboi...hang nak bakaq ghumah Tok hang noo!!"

"Dak....dak...cek tak sengaja" balas aku dengan cuak.Siaplah aku kena tarik telinga nanti.

"Mai naik!"

"Sudah lah tuu...kesin kat budak tu.Bukan dia sengaja", sampuk Tok yang telah berdiri di pelantar kayu.
"Sham mai kat Tok.Mai tulong Tok buat bauhulu...hang mai tulong Tok rimbuk teloq",pujuk Tok.Aku tahu Tok pasti akan defend aku.Aku cuu kesayangan dia.Tok yang bela aku di kampung sehingga aku masuk sekolah.

Aku naik ke pelantar.Tok capai tangan aku dan bawa aku ke dapur. Berasap dapur dengan dapur kayu.

"Tok...cek tak sengaja Tok...bukan cek nak bakaq ghumah Tok ..."
"Tak pa aih...Tok tau hang bukan saja buat Lain kali kalau nak main bunga api jangan la dok tauk ataih pokok.Main saja macam besa."

"Tok, cek taku mak marah cek...."
"Tak pa hang jangan takut.Kalau mak hang marah hang Tok marah dia balik...."
"Tok...malam ni cek tidoq ngan Tok naa...."

Tok angguk dan usap kepala aku.