
Anda mungkin tak akan percaya. Tapi percaya lah. Percayalah 100%. Anda mungkin akan bertanya: Apa pasal kena percaya? Kerana ini kisah benar. Bukan aku reka bukan aku cipta. Bukan aku dapat ilham. Cuma tiba-tiba aku teringat dan bila teringat aku terfikir. Fikir bahawa ianya relevan dalam kehidupan kita. Kehidupan berkeluarga. Tak kiralah samada Melayu,Cina atau India.
Kisah ni berlaku pada tahun 1989. Ya. 1989. Ketika itu aku bertugas di Hospital Taiping. Bertugas di Medical ward. Waktu itu kebanyakan Hospital amat kekurangan doktor. jadi keraplah kena buat on-call. Apa lagi sebagai houseman(intern). Lagi lah kerap kena on-call. Kadang kala selang sehari(bila ada kawan bercuti). Kalau selang dua hari dah kira nikmat besar. Kalau kena on-call kami akan bermula seawal 7.00 am hingga ke 5.oopm keesokannya. Minimum 34 hours in a stretch! Dulu-dulu mana ada day-off selepas on-call. Masa dulu bila on-call kena jaga all the medical wards. 2 ward lelaki dan 2 ward wanita.
Paling melecehkan bila ada kematian. Semua kelamkabut. Nak kena pergi resuscitate dan buat report dan buat death cert, nak kena inform family members. Lagi leceh kalau ada 2-3 kematian in one night. Silap hari bulan doktor bertugas pun boleh mati.( aku pernah ada 3 deaths in one night. Rasa perit sangat sebab hari tu dari pagi sampai ke tengah malam teramat sibuk with lots of admissions. baru nak makan at 1 am( dinner!) tiba2 nurse panggil sebab ada patient collapse. Lepas tu berturut-turut sampai 6 am. Masa tu rasa nak quit sebab dah terlalu letih sangat).
Kisah ni ialah tentang bagaimana seorang remaja kantoi di sebabkan hanya sebuah kapchai.
Ada satu hari ketika aku on-call. malam tu adalah antara malam=malam yang rare bagi kami.Malam yg tak sibuk. After 7.00 pm tak banyak admission. Kebanyakan admission waktu siang telah rakan-rakan lain clerk dan examine( temubual dan pemeriksaan fizikal). Jadi malam tu masa maghrib aku sempat balik ke kuarters dan mandi serta solat. Lebih kurang jam 8.30 malam nurse talipon ke bilik dan memberitahu ada satu new admission. Aku terus ke ward.
Bila sampai aku dengar ada suara mengerang di selang-seli suara meraung wanita. dalam kepala aku : Hah! Apahal pulak ni? Aku bila ada family members dok meraung-raung ni cukup tak gemar. Bukan apa, pesakit lain yang dah sedia ada jadi tension.
Aku ke kaunter jururawat dan staff nurse memberi pada aku case sheet pesakit baru tu. Seorang remaja India berusia 17 tahun dari kawasan Trong. Admitted kerana:
Minum racun rumput rampai.Patutlah dengar suara wanita meraung. Mak dan kakak remaja ni yang meraung.
Aku ke katil dan introduce diri aku kat remaja tu dan mak bapak dia. Aku minta ahli keluarga dia tunggu di koridor dan pesan supaya jgn bising sangat.
Budak tu nama dia Arumugam. 17 tahun. Berbadan kecil tapi tegap. Dia nampak mencungap. Nurse telah kenakan saluran oksigen ke hidung dia.
Aku mula bertanya soalan dan selepas itu buat pemeriksaan. Di wad kecemasan tadi dia telah di beri minum air tanah( Fuller's earth) untuk neutralize kan racun yang dia minum. Jika sedikit yang di minum, ada harapan. Kalau banyak memang sukar.
Dari apa yang aku gather dia minum setengah cawan Paraquat. MasyaALLAH! banyak nya. Aku pernah tengok yang satu sip pun bleh membawa maut. Aku tahu budak ni tak lama. Paling kuat 3 hari lagi dia akan mati. Pemeriksaan fizikal pun dah menunjukkan sistem pernafasan dia sudah di compromised. Aku mengambil sample darah untuk monitor sistem liver dan kidneys dia.
Dari temubual aku, dia minum Paraquat pada jam 6.00 petang tu. Alasan kerana frust bapak dia tak mahu beli motor kapchai baru utk dia. Ada kawan dia dapat kapchai baru jadi dia minta kat bapak dia. Bapak dia kata sekarang mana ada duit( bapak kerja estet). Jadi kata dia dia minum racun tu sebab nak acah bapak dengan mak dia saja. Dia tak tau boleh jadi macam ni.
Aku kemudian jumpa bapak dan mak dia. Aku panggil ke bilik dan temubual mereka.
TA: Uncle...Aunty....ini apahal Aru bikin ini macam? Bila tahu dia sudah minum itu racun?
Mak: Ayooyoo...dokter...itu saya punya anak ada boleh idup ka? Dokter kasi tolong sama dia jangan kasi mati. Ayoyo...kadivalle....
TA: Aunty...dengar sini. saya akan tolong anak Aunty okay. Tapi saya mau tanya aunty sikit ,boleh?
Mak: ( Mengangguk sambil masih menangis): Wokey dokter..boleh..tapi dokter kasi janji itu saya anak tak mau kasi mati...ayoyo...Aru...Aru....
TA: Aunty...kasi cerita sama saya apasal Aru boleh itu minum itu racun. Dia ada gaduh ka? Ada marah sama sapa ka?
Mak: Ayoyo...itu saya anak mau dia bapak beli motor baru la dokter...Sudah lama dia ada minta dia bapak bili. Itu dia kawan ada motor juga jadi Aru jugak mau motor. Dia bapa cakap dulu sama dia, kalau mau itu motor, dia misti mau tolong potong susu jugak. Kalau duit ada cukup boleh sendiri bili....Saya juga ada cakap sama Aru..kita miskin jugak. Dia adik lagi mahu sekolah ampat orang. Dia sendiri sekolah itu Form 3 juga dokter...Kadang2 ada tolong potong susu. Kadang2 ada kirja kontrak bikin jalan. Dia cakap mau itu motor sebab mau ikut kirja kontrak senang.
Bapak: saya ini anak banyak keras kapla juga dokter. Dia sudah tau kita miskin juga lagi mahu motor juga. Saya sindri basikal jugak. Tapi ini muda orang susah. Itu basikal tarak standard juga ka? saya ada cakap, kita angkat motor second hand juga tapi dia tak mau. baru jugak mau. banyak keras kapla ini budak.
Mak: (Cakap Tamil macam marah-marah kat bapak Aru. Bapa dia balas balik dalam tamil. Aku rasa macam dok tengok wayang Tamil saja.)
TA: Uncle..Aunty...Sudah-sudah! Tak mau gaduh-gaduh okay. Anak sudah ini macam tarak baik. Pukul brapa tadi tau Aru minum racun.
Bapak: Sori dokter...ini dia punya mak kata saya punya pasal dia anak minum racun. Sebab saya tarak bili motor. Sekarang dia mahu saya bili baru punya motor kasi sama dia anak! Cit! Busuk punya pompuan! saya ada salah ka dokter?
TA: Sudah lah tu... Aunty..kita tengok dulu kalau Aru sudah okay baru beli motor okay. Sekarang sudah malam kedai pun tarak buka .
Mak: Wokey..wokey...tai saya mau dia bapa bili baru motor esok jugak. Ini Aru kita ingat , itu jam 4 .30 petang ada pirgi bola main. Tarak lama dia ada balik kasi bising2 mau itu motor baru jugak. Dia punya pak baru balik banyak penat...marah sama dia. Dia bapak cakap itu motor kasi tunggu ada duit dulu la...Aru bising2 kata dia bapak sama saya tarak sayang sama dia lagi. mau motor tarak mau kasi...Dia kawan ada dapat motor baru...Habis dia bapak cakap kalu Aru tarak diam dia bapak mau hantam sama kayu. Aru cakap ,tengok semua sudah tarak sayang sama dia. Dia ada keluar. tarak sampai 10 minit dia masuk bawak itu cawan ada racun Parakuat ...ayoyo....kita sudah tau ini tarak baik. terus dia bapak minta tolong ada orang Melayu ada kreta hantar hospital doktor....(Kemudian dia cakap tamil pada suami nya macam marah2)
Aku arahkan jururawat teruskan arahan aku.kalau apa-apa bagitau aku. Rupanya kes Arumugam adalah last kes yang masuk. Sampai ke subuh aku dapat tidur nyenyak kat bilik on-call. Nurse kejutkan aku dan lepas subuh, aku mula mengambil darah pesakit-pesakit serta memberi suntikan kepada yang perlu. By 7.00 am selesai dan aku balik sekejap utuk mandi. Aku lihat Aru masih macam tu tapi nafas makin dalam dan panjang.
Selesai mandi dan tukar pakaian, aku bergegas semula ke ward. Aku kena review pesakit di bahagian aku(termasuk Aru di bahagian aku) sebelum bos datang untuk ward rounds. Kebanyakkan pesakit aku stabil. Ada 2-3 orang yang aku nak discaj pagi tu tapi kena tunggu wardrounds dulu. Bila habis yang lain, aku review Aru. Bibirnya kering dan mengelupas kesan dari Paraquat. Dia sudah mula batuk-batuk dan paru-parunya sudah mula mempunyai tanda-tanda internal injuries.Ini yang kami risaukan. Bila aku raba dada Aru, terasa crepitus di bawah kulit. rasa seperti kita menggenggam kertas di tangan Ini bukan pertanda yang baik. kahak Aru sudah berdarah. Dia berbisik pada aku: Dokter...jangan kasi saya mati dokter...Dokter kasi tau sama bapa saya...itu motor saya tarak mau lagi...saya tak mau mati. Saya mau jadi anak baik dokter....Saya tarak tau itu minum sikit boleh jadi ini macam. Saya badan sakit nafas banyak susah dokter. Tolong sama saya dokter...tolong.....
Aku cuma mengangguk dan suruh dia jangan susah hati. Aku akan bantu dia.
Sebelum pakar masuk aku panggil mak Aru dan beri dia bercakap berdua. Aru bagitau maknya dia tidak mahu lagi motor itu. Mak dia menangis tak berhenti-henti hingga pakar masuk ke dalam ward.
Setelah ward rounds selesai aku ke klinik untuk pesakit rawatan susulan. Lebih kurang jam 1.30 pm baru kami selesai. Aku pergi ke kantin( masa tu tak dipanggil cafeteria lagi) dan had lunch. Lepas Zuhur ke klinik semula untuk kes-kes susulan yang tak selesai pagi tadi.
4.30 selepas klinik aku terus ke ward semula. nak tengok apa-apa kes baru yang di admit ke bahagian aku. Ada 2 orang. Kedua-dua kes asthma dan sudah di rawat oleh doktor yang on-call hari ni. Aku ke cubicle Aru. Aku lihat ramai saudara mara dan kawan2 dia di situ. Mak dan bapak dia serta dua tiga orang tua sedang menangis. Aru juga aku lihat ada air mata meleleh di pipi. tapi dia susah nak bercakap. Nafasnya pun sesak. Aku minta izin keluarga untuk examine Aru sekejap. Aku dapati crepitus semakin banyak keseluruh depan dada.
Selesai, mak dia beritahu aku: Dokter...kasi saya anak selamat...Dia punya bapak sudah bili baru motor tadi jigak. Itu motor bawah ada( ditempat parking sebelah ward)
Aku terkejut. Bapak dia beli motor? Mana dia dapat duit?
Aku tanya bapak dia dan dia kata dia pinjam duit tokey estate tempat dia menoreh. Dia kata dia dah beritahu Aru dia dah beli motor untuk Aru.
Bapa: Dokter....tolong kasi Aru tarak mati...tolong dokter....tolong lah...saya mau dia esok ka lusa ka...minggu depan ka...naik iti motor. saya mau dia tau kita sumua sayang sama dia...Kita tarak mau dia mati dokter......
TA:.....Uncle....kita boleh cuba saja. Tengok satu dua hari apa macam okey....Saya mahu balik dulu. nanti malam pukul 8 saya mari tengok Aru.
Aku ke kaunter dan beritahu jururawat yang aku akan datang review pesakit aku jam 8 nanti. Kalau apa-apa berlaku beritahu aku. Aku pulang ke bilik. Dah berjanji dengan kawan2 jam 9.30 nak pergi makan di stesen Keretapi Taiping(sambil nonton wrestling).
Jam 7.00 jururawat telifon ke bilik aku. Aru sudah meninggal dunia.
Kandungan posting mungkin ada kena mengena atau tidak dengan makhluk yang hidup atau yang telah tiada.Kalau sapa-sapa terasa nak buat macamana kan. Sapa makan cabai melaka dia pedaih laa