Friday, June 20, 2008

Terkenang semasa dulu...part 8 : masuk jawi

November 1972
Cuti sekolah akhir tahun.

"Esok kita balik kampung" ujar bapak pada kami anak-anak.

Memang kami amat suka berita balik kampung.Dapat berjalan jauh.Dapat lihat pemandangan dari dalam bas.Dapat jumpa Tok Chah.Jumpa sepupu sepupi di kampung.Jumpa Kak Tinah,Kak Ani,Bang Jon,Bang Mi.Dapat bermain di celah pohon getah.Dapat tolong Mak Ndak motong getah(menoreh).Tolong ngutip susu getah.Tolong mesin getah.

Boleh ke Bendang Dalam jumpa Tok Nah(mak bapak).Jumpa Wa Mah dan Pak Ngah Aji Man.Jumpa anak-anak Pak Ngah:Kak Sobriah dan Bangcik Hanip.Boleh panjat pokok manggis dan rambai di laman rumah Tok Nah.Dapat mandi di kolah madrasah Pak Ngah.Dapat mengail ikan di alor sebelah rumah Pak Ngah sambil menjerit membuang lintah yang gerenti melekat di kaki-kaki kami. Dapat makan buah nona yang tumbuh di tepi tangga rumah Pak Ngah.

Boleh ke rumah Mak Njang di belakang Kampong Kedai Sebelah.Dapat main di paya yang ada depan rumah Mak Njang.Dapat jumpak Bang Ya,Bang Chop,Kak Mariah,Kak Jah,Kak Timah.Kalau ada rezeki dapat makan durian yang 2-3 batang di keliling rumah Mak Njang.Dapat tengok koleksi kotak rokok tembak(Rough Rider) yang di susun penuh dinding (dari lantai ke lelangit)rumah Mak Njang,ehsan dari Mak Njang dan Pak Njang

Lagi best kalau Bang Ya atau Bang Chop dapat bawa pergi mandi di tandop.Tentu ramai budak-budak di sana.Memang riuh!

Bila ingatan begitu datang,memang kami anak-anak tak sabar nak balik Kedah.

Esoknya sebijik kereta sewa sampai di depan rumah.Bapak angkat beg-beg masuk ke belakang kereta.Bila semua siap sedia kami mulakan perjalanan.

Petang kami sampai ke Kg Bujang.( sebab itu aku kata aku ni orang Bujang!)Memang kalau balik kampung,Bujang destinasi pertama.Selepas beberapa hari baru ke kampung bapak iaitu Kg Bendang Dalam( jarak lebih kurang 2 batu saja dari Bujang,kalau ikut shortcut).Wah!Memang seronok sangat.Tok Chah girang bila cucu dari Taiping sampai ke rumahnya.
Selepas mendapat bayaran,kereta sewa pulang semula ke Taiping.

Keluarga Pak Tam pun sudah ada rupa-rupanya.Pak Tam bercuti dan sampai dari Kucing lebih awal dari kami.

Malam tu lepas makan, mak beritahu aku:"Lusa hang masuk jawi tau!"

Aku angguk setuju.Memang nak sangat aku nak masuk jawi. Selalu dengar orang dok sebut masuk jawi tapi aku tak tahu apa itu masuk jawi.

"Bapak!Masuk jawi tu lagu mana bapak?"
"Masuk jawi tu kiranya hang dah nak jadi orang besaq lah....kita orang Islam mesti masuk jawi"
"Depa buat lagu mana bapak?Ada kawan cek kata depa kerat kote kita.Ya ka bapak?"
"Hah....Tok mudim kerat sikit saja tang kulit muncung tu"
"Sakit dak bapak?"
"Sakit sikit saja....sat saja.Lepaih tu baik lah"

Angguk faham.Tapi hati tetap risau.Nak kena potong?Banyak ke sikit nak potong tu?Potong guna apa?Pisau kah?Parang kah? Gunting kah?Perasaan suka dan cuak bercampur baur.Mahu tapi risau.Macamana kalau aku menjerit atau nangis nanti?Mesti malu kat orang kampung.Malu pada saudara-mara.

Pak Tam yang mendengar pertanyaan aku senyum dan sengih menampakkan gigi yang putih berlatarkan kulit Pak Tam yang memang hitam.

"Siap lah hang lusa Sham....." kata Pak Tam.
"Aku nak suruh Tok Mudim kerat semua sekali,paih tu lempaq bagi ayam makan"

"Alah Pak Tam...cek tak takut la nak masuk jawi.Kawan cek hat dah masuk jawi kata mana ada kerat semua...Pak Tam nak muhong(bohong) cek eh?"

Pak Tam ketawa kuat.Berdekah-dekah sambil menepuk-nepuk pahanya.Yang lain turut ketawa.

Esoknya Makcik Jah sekeluarga sampai dari Aloq Staq.Turut serta anak penakan Pakcik Hashim,Kak Miah yang sunti. Makin riuh rumah Tok.Anak cucu asyik bising bermain di tanah(laman).

Pagi lusa nya, mak awal-awal lagi dah kejutkan aku. Bapak,Pak Tam,Pakcik Hashim aku lihat dok bersembang sambil menyorok(sarapan) kopi dan kuih muih.

"Hang pi mandi di telaga.Hang nak berak ka apa ka pi la ni.Satni lagi ramai mangkit tidoq pakat berebut pulak. Lepaih mandi baru makan"

Aku keluar ke telaga.Sejuk gedi rasanya.Menusuk ke tulang. Tok Chah ada di luar.
"Awang ai...hang nak mandi ka?"
"Ya Tok...satni cek nak kena sunat"
"Hang mandi sabun bersih-bersih noo...pasai lepaih ni hang banyak hari tak muleh mandi"
"Ya Tok!"

Jam 8 pagi rombongan Tok Chah melangkah keluar. Kakak-kakak saudara tidak ikut serta.Pak Tam tak bagi.Mak Ndak sedang motong di keliling rumah.Pak Ndak dah ke bukit di kaki Gunung Jerai.

Kami ke rumah Tok Ngah Arop,adik Tok. majlis masuk jawi akan di langsungkan di rumahnya sebab ada 3 orang cucu Tok Ngah Arop akan berkahatan.Jadi majlis ni Tok Ngah Arop yang organisekan.

Lebihkurang 10 minit kami sampai ke rumah Tok Ngah Arop. Ramai yang dah hadir. Bangsal ada 3 bijik di dirikan(bangsal kenduri di Kedah waktu itu berpelantar jadi tetamu boleh bersila untuk makan.jugak untuk majlis berzanji dan marhaban. Ada jugak yang di buat bermeja yang mana kaki meja dari batang-batang nyioq atau batang pinang dan papan meja dari batang buluh atau batang pinang yang di siat).
Di tepi rumah ada sebijik gedohoak( khemah masak) dan aku liihat dapur-dapur kayu getah sedang berasap.Nasi putih sedang di tanak dan aku lihat ada yang sedang memotong daging lembu dan kambing yang baru di sembelih.

Kenduri masuk jawi besar macam kenduri kahwin. Kaum wanita di pelantar dapur dan dapur.Mengatur kuih-kuih yang di sedekah oleh jiran-jiran.Air di jerangan untuk di masak kopi kampung yang baru di goreng. Harum semerbak bau kopi dari dapur. Aku di bawak ke atas rumah.Ada 4 orang lagi dua pupu yang akan di masuk jawikan dengan aku.3 orang cucu Tok Ngah Arop.Aku kenal bani yang sebaya aku. Yang lain aku tak kenal. kami di kumpulkan di ruang tamu. dah tersedia 2 batang pisang di situ. Agak belakang sikit dah terikat 5 tempat pembaringan dengan tali rapia tergantung dati lelangit.Itu lah tempat kami nanti utk 2-3 hari nanti.

2-3 oramng-orang tua yang ada di beranda rumah mengusik kami.
:Siap lah hangpa.....Tok Mudin sat lagi kerat punai hangpa dengan kapak."
"Eh! Bukan kapak laa...tuh...dia guna gergaji kayu..."

Di sambut dengan ketawa.kami 5 kanak-kanak krurus kering semakin kecut.Ada yang pucat.Ada yang nak terberak dan terkencing.Ada yang dah mula sebek dan nak menangis.

Sejam kemudian kami dengaq ada laungan di tanah.
"Tok Mudim mai dah...Tok Mudim mai dah..."

"Hah! sapa tak masuk jawi lagi mai kita tangkap!Kita suruh Tok Mudim kerat dengan hat 5 orang nu..."
Berkeliaran kanak-kanak yang sedang berlari bising tadi.Berdesup menghilang.Takut di sunatkan bersama kami.

Kelibat Tok Mudim kami nampak dari atas rumah.Tinggi orangnya. Kain pelikat bertalipinggang Mekah.Sawo matang,berkilat. Bersongkok tinggi dan berblazer.Misai melintang tebal. Dia melangkah bagaikan panlima perang.Di belakangnya ada seorang yang lebih muda membimbit beg hitam .Beg misteri Tok Mudim.

Bila dia hampiri rumah Tok Ngah Arop ramai yang bersalaman dengannya.Ada yang terus mengusik anak-anak kecil yang sudah hampir nak menangis. Tok Mudim senyum.

Bila dia melangkah naik ke ruang tamu kami 5 orang lebih menikus.Badan rasa sejuk.seram pun ada.Tak macam di sesetengah tempat yang memandi sungaikan kanak-kanak yang nak di khatankan,kami tak mandi sungai.Mungkin sebab sungai jauh di darat sana.kami sekadar air telaga saja.

Pembantu Tok Mudim menghampiri batang pisang yang di tengah-tengah rumah. Tok Ngah Arop menjemput Tok Mudim minum dulu. Di temani beberapa orang tua kampung.Pak Imam.Pak Bilal.

Bila tempat penyembelihan sudah siap Tok Mudim mengambil tempat. Pak Tam naik ke atas rumah.

"Hah!Sapa dulu?" tanya Tok Mudim. kami 5 orang diam.Kecut perut yang amat sangat.Tension.Mengigil.menggeletar.Tekak terasa kering.Semua berharap bukan yang pertama tapi yang terakhir.

"Bani dulu. Lepaih tu Sham" kata Tok Ngah Arop.
"Bani hang mai sini....bawak dia mai. Hah!Dok ataih batang pisang ni" arah Tok Mudim. Kami yang 4 orang lagi memaling muka ke arah lain.tak berani nak lihat. harap-harap Bani tak menjerit atau menangis.

"Hah...Sham hang pulak mai sini:, tiba-tiba Pak Tam bersuara.Aik!Sat saja dah siap ka? fikir aku. Tak dengaq pun Bani melaung atau menangis.

"Hang dok ataih batang pisang ni. Haa...lagu tu.Kangkang sikit lagi." suruh Tok Mudim. Pak Tam memeluk tubuh aku dah suruh aku dongak ke atas. Aku dengar Pak Tam suruh baca Bismillah dan Pak Tam sendiri aku dengar berselawat di telinag aku.

"Hang ni darjah bropa?"
"Darjah 4 tok......." suara aku macam orang mengigil di Kutub Utara.
"Ohh...derjah Mpat.Amboih!!Comey kote hang ni no....baguih tak buta pun"

Tiba-tiba aku terasa pedih yang amat sangat.Pak Tam mengejapkan pegangan nya.
"Tahan sikit...nak habih dah"pujuk Pak Tam.

"Dah!Angkat dia boh tang tempat tidoq. Wak mai nombot 3 pulak..."kata Tok Mudim.

Woih!Cepatnya masuk jawi ni.Tak sampai 2 minit dah siap.Aku di usung ke tempat tidur.Bani sudah tersenyum. Kain pelikat sentung sudah di ikat ke tali rapia dan nampak macam khemah pengakap bercamping.

Bila selesai 5 punai di sembelihkan Tok Mudim dan pembantu mendapat habuan dan meminta diri.Ada masuk jawi di kampung lain pula katanya.Di bawah rumah Tok Ngah Arop ada kedengaran riuh rendah sedikit yang kemudiannya baru aku tahu ada insiden yang melucukan.

Kulit muncung punai yang telah di potong di letak ke dalam bekas yang berisi air yang mana pisau pemotong di basuh.Bila selesai bekas ini di bawa turun untuk dibuang airnya dan di tanam kulit-kulit yang di potong.Ada beberapa orang berebut-rebut hendak membasuh muka dan mata dengan air tersebut.

"Ni hangpa nak buat apa ni?" tanya Pak Tam.
"Nak basuh mata"
"Basuh mata?Nak buat apa?"
"Kalau basuh mata ayaq masuk jawi ni...mata kita jadi terang Pak Tam."
"Laa....awat hangpa bodoh sangat!Lagi elok kalau hangpa pakat minum ayaq tu.Biaq terang sikit hati hangpa"

Yang berhajat terus diam.Yang memerhati ketawa terbahak.

Kami berlima di atas sudah mula terasa pedih.Maklumlah masa tu mana ada di beri bius.Alih-alih potong dan di balut.Balutan yang di panggil kundang consist of campuran serbuk kopi,rempah dan madu dan dibalut dengan gauze.Beberapa makcik-makcik mula datang dan menyelak-nyelak kain kami.Aduh!Malu sangat masa tu.Kami jadi macam main attraction di Muzium Negara pulak.Ada yang bagi sedikit duit pada kami.

Makan kami di kawal dan air di catu.Takut bentan kata mak.Telur tak boleh takut bernanah.Selang dua hari aku balik ke rumah Tok Chah.Pak Tam di tugaskan merawat aku.Dia yang memang seorang medical assisten dalam tentera tahulah sedikit sebanyak.Paling siksa ialah untuk menanggalkan kundang yang dah kering.Selama seminggu air suam di titis supaya kundang dapat di tanggalkan.Hari ke 10 baru tertanggal dan Pak Tam memulakan dressing.Masa tu mak bapak dan adik-adik dah balik ke Taiping.Tinggal aku dan anak-anak Pak Tam di rumah Tok.Aku tidak dibenarkan bermain di tanah.Boleh keluar tengok-tengok saja sepupu bermain.Pakai kain pelikat saja.Sebab lambat sembuh,makanan tetap di pantang oleh Tok.Tapi bila fikir-fikirkan tak rugi apa pun dengan pantangan ini sebab memang masa tu bukan senang nak makan ayam atau telur.Itu di kira barang mewah.So,setiap hari makan nasi dengan ikan tamban goreng.

Tak sabar nak naik darjah 5 sebagai seorang 'dewasa'.

41 comments:

mantra-indeeptots said...

Doc..
Saw your title block je.. i gelak sakan..

My only nephew.. seek advice from his blur aunty.. thats me, camne rasa masuk jawi? Dok pujuk kata, macam kena gigit semut.. sikit je sakit.. Lepas tu dok jerit kuat2.. Sakitttt.. Mak Ngah tipuuuuu...

Theres a good joke for you guys on my blog.. its all about after masuk jawi... HAVE A GOOD LAUGH!!

Maya said...

melalui pengalaman.. sekarang boleh pakai laser and ada clip..so i think tak sakit kot..heheh..

Anonymous said...

salam to Tokasid,
Dulu dulu masuk jawi depa bungkuih sakan..masa nak buang siksa teghiak satu kampung dengaq.Ehhehe...La ni 3 hari ja dah boleh naik gerek keliling kampung.

Unknown said...

Doc,
Sepupu aku masuk jawi di KL dengan Mudim Pakistan. Hang tau dia balut dengan apa? Dengan plaster. Bila nak bukak, aku ingat lagi mak dia dok kata, apa punya buta perut punya mudim, mai aku potong dia punya lilit dengan palster. That was in 1964 doc.

Aku masuk jawi umoq 4 tahun, yang ingat rasa sakit sikit saja tapi ganjaran dia dapat pistol mainan.

muteaudio said...

Salam doc,
Saya pun dikhatan oleh Tok Mudim. Duduk atas btg pisang. Ada lagi tak Tok Mudim tradisional sekarang? Budak bersunat sekarang ni tak semeriah dulu. Pi klinik, balik rumah tidoq.

Saya nak tanya, keadaan kpg Doc sekarang masih lagi macam dulu? Kpg tok saya kat Aloq Setaq ada bendang, sungai blablabla, tapi dah develope sangat. Seberang sungai dah ada kompleks mahkamah. Sungai dah tak boleh mandi etc. Senang cakap, dah semakin hilang suasana kampung.

Anonymous said...

Salam Jumaat Doc.Memori punai terputus paroh.Aduhai..Saya pun bersunat dgn sepupu sepapat juga..Pepagi mandi sungai sebelah rumah sepupu tu. .Bersih segala kalat.Oppss 18 sx.Sekali zaps muncung terbenam dlm btg pisang.Pedih mengerit.Bila nak mandi tutup dgn tempurung jantan.Yang rasa terdera tu pantang makan nasi dgn ikan kedera masin bakaq...Itu lah kenangan melangkah kealam seorang lelaki kan. Rio Alang Sedayu

tokasid said...

Jeeja mantra:

Did I sunatkan your nephew?Tak kan...

Bersunat will always bring back memories to all men.

When I sunatkan bebudak...to those who yell and cried I tell this to them: nanti kalau kau kawin kau jemput doktor tau.Doktor nak bagi tau ister kau,yang kau masa sunat dulu punya le teruk....

tokasid said...

Maya:

Sekarang boleh di gunakan clip atau the normal old surgery method(which I prefer coz I can control any bleeders and its cheaper to my patients).

Before bersunat, the medical way(not Tok Mudim kampong batang pisang) the area will be anaesthesised(bius)first.There is a slight pain when injecting the bius.This part yg budak2 sekarang dok menjerit melolong.After 2 minutes the 'bird' jadi kebas and we can proceed without much problem.

tokasid said...

Wassalam mama drzeze:

Betoi tu. depa punya balut kundang tu dengan macam2 perkakaih.Tu yg tiap2 pagi ngan petang dok titik aiyaq suam supaya senang nak lekang.Mana dgn serbuk kopi,rempah apa ntah,madu plus blood clot! Memang seksa yang amat sangat.

Lepaih tu pakai kain pelekat dok jalan mengengkang sambil tangan dok tarik kain ke depan.

Nak naik gerek tak berani.

tokasid said...

Che'gu:

Kah3...nanya sepupu hang noo...tapi paling best bila mak dia kata nak kerat hat tok mudim punya!

Memang masa nak masuk jawi ramai yg dapat habuan.Tapi aku dulu tak dapat apa pasai mak pak bagi tau dah last minit.Tak dan aku nak nego...

tokasid said...

Salam mute:

Hang antara batch yg akhir la aku rasa masuk jawi ataih batang pisang dgn mudim kampong.

Budak la ni senang. Sambil kena potong pun boleh main video game atau handphone game.

Kg aku setakat ni masih dok lagu tu jugak tapi sejak UiTM Merbok ada dah banyak perubahan. UiTM Merbok dan housing estates dah sampai sempadan dengan tanah Mak Ndak aku. Kebun getah dah banyak jadi taman perumahan.Tapi kawasan bendang masih terpelihara.

Aku rasa la ni pun org kampung Bujang kalau masuk Jawi dah pi klinik di Bedong atau Merbok atau SP. Paling koman pun depa panggil MA buat di kampung.

Baru2 ni ada kawan mai dari Kedah bagi tau,kot belah kampong hang di Anak Bukit memang tengah develop sakan. Depa kata Anak Bukit akan di jadikan administrative town utk Kedah.Sungai bukan saja tak boleh nak mandi lagi,aku ingat ikan pun tak mau berenang dah di situ.

tokasid said...

Wassalam Rio AS:

Ohh...hang dapat mandi sungai noo....memang depa suruh berendam samapi kecut 'awang' kita baru boleh naik. kami tak mandi sungai pasai jauh seberang bendang(and thats sejauh mata memandang).

Aku dulu kalu nak mandi guna pot susu utk katup 'awang'. La ni aku nasihat mak pak utk first 3 days utk katup awang guna bekas minuman plastik.

Satu lagi seksa dulu ialah lepaih masuk jawi masa dok sakit si 'awang' dah belajaq 'bangun negaraku'.jenuh betoi. Ada org ketuk kepala lutut dgn tempurung.Tapi kami dulu ambil rokok daun dan gulung daun tu dan di hujung kirai-kirai jadi lembut dan halus. Bahagian yg di kirai2 tu kami gelintey dalam telinga.Punya la syiok sampai awang terus turun.

Unknown said...

Doc,
Haha, that's remind me of sunathon baghu ni. Budak nangis. Dia punya jerit...huiiii...
Saya dulu pun buat kat klinik jugak doc. Tapi rasa rugi pulak tak dapat rasa batang pasang style.

Scarred Soul said...

Dear Doc,

Such a sweet childhood memory!

But it must not that sweet then I believe?

My young cousin sunat masa lepas lahir tu... so absolutely no memory of masuk jawi whatsoever, huhu.

At least you got something to tell to your children and the younger generations...

Wonder what story will I tell my young ones in the future... hhmmm.

:)

zackzara said...

Salam Doc,

Tengok title ni saya mcm konfius sket..masuk jawi? Ingatkan nak masuk kelas mari belajar jawi..rupanya lain! LOL

Btw, the best part is when budak2 tu nak basuh muka & mata dgn air tu and how tok mudim tu bagi sebijik kat depa.. hahhahaa.. hilarious!

tokasid said...

Akmal:

Yes the sunathons....bermacam ragam anak2 dapat kita tengok.Dan gelagat mak bapa yang gabra,kelam kabut dan panik.

Elok jugak Akmal tak merasa batang pisang. tersiksa jiwa raga Akmal oi....

tokasid said...

Sacred soul:

Yeah those were the good old days.
It was sweet if you minus the 2 weeks of dripping some lukewarm water onto the battered appendage.

The present trend of circumcising at the age of 7 days is better. Its easier to take care and the healing is much faster.

Even the techniques used now is better.I don't use the clip coz its expensive. I'm still doing the cut and suture where I can make sure all the bleeders are taken care of.Most of them will be riding the bicycle in 3 days time.

tokasid said...

zackzara:

that is among the words used to name berkhatan.
It is commonly used in the Nothern part of Tanah Malaya.

I am not sure in other dialect.

But as for BM its : Sunat or Khatan.

About the basuh mata and muka its not by kids. Its orang dewasa in their 30's and 40's.

Yang hentam them back is not the Tok Mudim.Its my uncle Pak Tam.
According to him, there was like a commotion kat bawah rumah. So he asked them what happened and then someone make the remark of nak terangkan mata.Itu yang Pak Tam saya kembalikan paku buah keras to them. And they were his childhood friends.

On the same note: you would have notice our Malay amalan of giving air penerang hati before exams or interviews,right?

Why not make the air penerang hati at a big dam like Kenyir or Temenggor.Kan satu Malaya boleh terang hati and pandai?

muteaudio said...

Doc,
La ni ada lagi Tok Mudim? Last Tok Mudim yang saya tau ialah dalam promo Channel 9. "Mula-mula tekan. Lepas tu...."(dah tak ingat)

zackzara said...

Salam Doc,

Hehhe..I see. I must have been laugh a lot in reading your entry that I didn't realise it's not Tok Mudim but Pak Tam hehehe..

Yea..true indeed if they can make the air penerang hati to tasik-tasik etc so all of us will be smart enuff..but at the same time, ppl wud take things for granted. But I like the idea..at least they would be less mentally disturbed ppl around and perhaps less problems.

Happy weekend, Doc. :)

ummisara said...

Salam,

Masa chek kecik dulu [tak ingat umoq bropa]...balik kampung kat padang temusu...kecoh org ramai kat situ, mcm kenuri lah...nih pagi hari...tetiba dengaq lah org riuh, chek pun nampak ada 2 org pakcik chek usung pakcik chek yang bongsu...dia baru lepaih mandi [bilik ayaq kat luaq rumah]....depa usung bawak masuk rumah...tau tau pakcik bongsu dok terlentang bawah kain pelikat...

Chek masih ingat lagi masa tuh umoq chek dalam 11 tahun lah...sehari selepas kenduri munzar, anak -anak menakan dia berkumpoi lah nak masuk jawi. Ni buat kat kampung padang temusu lah umah munzar. Pak menakan munzar , Tok Chik Hab [wahab] memang terkenal..dia tuh tok mudim. Chek nih memang penakut bab-bab darah...mujur chek balik umah pagi tuh tak pi umah tok [dlm 10 km je]

itulah first time makcik yang baru nikah dengan pakcik chek tengok org sunat...dia bukan org negara kita...negara dia nunnnnn jauhhh di barat.depa crita dia nak pitam lah jugak...

Mai pulak turn adik chek yang bongsu [masa tuh ler]...masuk jawi umah makcik chek...masa tuh chek dah besaq dah...tapi chek lari pi dok ujung taman perumahan. takutttt. Bila dah selesai baru balik...tapi adoiii sakit jiwa bila malam, bebudak yang sama senagkatan dengan adik chek nak pi bilik ayaq...ngeri...dengaq depa dok keriau sakit.

adik bongsu chek pulak okay sbb kan masuk jawi kat klinik.

tapi kan bab masuk jawi zaman dulu memang meriah kan...!!!!

tokasid said...

mute:

Aku rasa la ni tak dak dah kot tok mudim tradisional.Tak tau lah kot di sesetengah tempat di Kelantan n Ganu.

tokasid said...

zackzara:

you have a nice weekend too.

tokasid said...

Min:

memang zaman tu masuk jawi macam kenuri kawin.Meriah sungguh.Ada tempat yg siap berarak budak2 mcm pengantin.Siap baju melayu dan sampin et al.

Very informative additon you gave us about masuk jawi in pdg temusu.
thanks.

cakapaje said...

Salam Doc,

Alamak! Den teraso sodih baco ni ha! Bukan apo, den berjawi kek hospital dan takdak pun fanfare. Lopeh tu - pasai hari sebelum tu den makan ayam - raso punyolah gatal (bukan gatai ye), tapi takleh garu. Hmm...tersekso batin kat seminggu. But, hehe, thanks Doc, this sure bring back memories.

tokasid said...

Shah:
As the eldest son, I was given the honor of masuk jawi with a Tok Mudim kampong in Kedah.

All my brothers had their masuk jawi in Taiping and done by the moonlighting hospital MA.

If I was to masuk jawi in Taiping I will definitely be sunat-ed by the MA.

My schoolmate who masuk jawi by MA healed within a week,unlike me going through 2 agonizing weeks with my official kain pelekat.

Kerp (Ph.D) said...

uihhh...ngilu baca entry ni doc. teringat time aku masuk jawi dulu, masa umur 8 tahun.

eh, nowadays punya method lagi mudah kot. ada pernah nampak alat ketip pakai-buang tu. normally how long do you take to cut per head doc?

KAMATO said...

Dulu2 kene berendam lepas subuh, pas tu berusung lagi sebelum sunat...la ni dah makin pupus tradisi tu....

ZABS said...

Salam Doc.,
Saya pun berkhatan masa darjah empat, tapi kat hospital Seremban, berdua dengan seorang kawan lagi sama umur.
Masa tu, teksi tak boleh masuk sampai ke kampong. Kenan jalan kaki lebih 1km.
Masa nak pergi oklah. Tapi masa balik tu, separuh perjalanan, kawan tu pitam.
Saya dan bapa balik dulu untuk dapatkan bantuan untuk angkat kawan tu.

Anonymous said...

Tokasid

Alamak saya kehilangan pengalaman macam tu lah sebab sunat dengan MA cara moden........

tokasid said...

Ahmad kerpomovic:

memang ngiku kerp bila kena kerat tanpa bius.

Method sekarang lebih selamat dan less complications.Less bleeding and reduces infections.

Potong kepala from start to finish about 20-30min.

tokasid said...

kamato:

rasa2nya acara mandi sungai dah tak ada lag.Lagipun sungai kat negara memang tak sesuai nak mandi lagi dah pun.

tokasid said...

Pak zabs:

Ngeri baca cerita pak zabs.Kalau lepas masuk jawi nak kena jalan 1 km memang siksa tu.Tu yg kawan tu pitam.

tokasid said...

mamadou:

Elok masuk jawi cara yg lebih selamat.Awak tak rugi apa-apa pun sebenarnya.

Anonymous said...

mostly cerita kita masa budak-budak sama jer yob,masuk jawi,,one thing baca siri terkenang semasa dulu ni,especially bab masuk jawi..saya pun teringat juga masa kat kampung tahun 1977,masa tu darjah 4,dikampung dendang,bruas..tokmudimnya..pak ya,pakai pisau belati..haha..kenangan yang berkesan sampai hari ini...meorpestajiwa

tokasid said...

meorpestajiwa:

memang bebenor...cerita masuk jawi dulu2 lebih kurang sama skrip with variasi sana sini sikit ngikut tempat.

Teman udah dapat CD kome.Dah dengor kedua-duanya 2 kali dah.best yob.Syabas.

Nanti teman buat promo.

Unknown said...

Salam bro...

patut saya bagi anak saya baca cerita ni...yg kecik tu..amboi takut sakan...siap kata tak mau khatan umoq 11 tahun sebab dia kata abag dok teriak jadi dia nak khatan umoq 12 tahun...aiseh...

kenuri? memang...kat tempat saya pun gitu...buat sengap2 depa pakat dok merajuk (depa ni sedara mara la)...serba salah jugaklah...

entri ni sungguh mengimbau kenanga...

Anonymous said...

salam pakcik

cheq seriau tgk anak cheq berkhatan

cheq yang jerit & pejam2 mata

x sanggup nak tgk

rasanya guna 'clamp' kot

ilang ingatan lar pulak..

Manafaat Blog said...

Salam Doc

Sorry off topic. Blog you ni masih ada "pop up message", rasanya ada technical error dlm html scrip code Waktu Solat tu. Setiap kali visit mesti "disambut" dgn pop up message tu :-)

Saya ada dapat html scrip code waktu solat baru, dari Melaka lagi. Rujuk; http://manafaatblog.blogspot.com/

Lukman

cikliah said...

Erkkk.. sungguh menggerikan masuk jawi dulu-dulu ek ? Patut pun yang kena tu muka kelat seminggu.
Budak la nie terkinja2 lepas sehari dua. Seminggu dah boleh pakai seluar balik... :D

Raja Azrul said...

aku tgh wat researh pasal bersunat tradisional melayu..

kalau lah ada tok mudim lagi, tolong bagitahu ye..teringin nak tgk upacara berkhatan cara kampung nie...

thanks..!!