Showing posts with label politik. Show all posts
Showing posts with label politik. Show all posts

Monday, April 6, 2009

Melayu Mudah Lupa : UMNO= rasuah politik wang

Salam buat semua.

Dah lama aku tak ulas perkembangan politik tanahair.Apa lagi dengan 3 pilihanraya kecil(PRK) di 3 kawasan esok. Satu Parlimen dan 2 DUN. Bukit Gantang di Perak,Bukit Selambau di Kedah dan Batang Ai di Sarawak.

Dalam seminggu ni kita dah baca dan tonton pelbagai berita dan cerita tentang PRK di 3 kawasan ini. Ada cerita benar.Ada cerita palsu.Ada cerita benar benar benar.Ada berita benar benar palsu.Ada yang plasu palsu benar.

Bila ada 3 PRK ini aku teringat kata-kata Dr M sewaktu menjadi PM dulu.Kata-kata atau frasa yang begitu terkenal sehingga sekarang selain dari "....apa nama...." iaitu : Melayu mudah lupa.

Ramai bijak pandai serta yang pandai pandai buat bijak mengatakan orang Melayu ni ingat sesuatu isu atau kejadian atau perkara penting/hebat hanya untuk 3 bulan sahaja. Tapi aku tak setuju.Bukan tak setuju frasa Melayu mudah lupa.Itu aku setuju.Aku tak setuju bila yang cerdik pandai kata ingatan Melayu setakat 3 bulan sahaja. Itu penghinaan terhadap Melayu sebenarnya. Melayu lebih baik dari itu. 3 bulan adalah terlalu lama.

Aku kata Melayu akan lupa dalam tempoh seminggu sahaja.Awat yang hangpa dok geleng kepala? Hangpa ingat aku pakai taram saja ka? Aku akan buktikan bahawa Melayu akan lupa dalam tempoh seminggu.

Hangpa tunggu malam esok bila keputusan PRK di umumkan. Hangpa akan dapati pengundi Melayu di Bukit Gantang dan Bukit Selambau akan memilih semula BN/UMNO. Walaupun 2 minggu lalu depa pakat maki hamun BN/UMNO kerana politik wang.Mana calun-calun PAU yang tak kena maki free? Ramai yang kena aku percaya.

Tapi bila pemimpin peminpin yang ramai dok amal amalan rasuah politik ang ini turun berkempen di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, aku percaya ramai pengundi Melayu telah jatuh chenta kat pengamal rasuah politik wang. Jadi maraj Melayu terhadap politik wang hanya seminggu saja.

(Nota: aku percaya bukan UMNO sahaja yang ada masaalah rasuah dan politik wang.Banyak parti politik lain yang dok buat sama)

Satu lagi cerita sensasi ialah kemasukan semula Dr M ke dalam UMNO. Ni pun menarik apa lagi bila kita ingatkan analogi yang Dr M kata 2 minggu lalu.

Hangpa ingat dak semasa Ali Rustam di larang bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO? Tak ingat? Hai...baru 2 minggu dah tak ingat? Memang aku dah kata Melayu lupa dalam tempoh seminggu hangpa tak percaya.Okay...masa Ali di disqualifiedkan oleh Lembaga Disiplin UMNO, penyokong-penyokong Ali yang dok mabuk cencalok marah sakan. Bila di tanya pada Dr M tentang reaksi penyokong Ali,Dr M kata orang yang sokong pemimpin rasuah bermakna menyokong gejala rasuah. Itu yang aku faham apa yang Dr M kata.

Lepas tu, beliau tak mahu hadir PAU bila KJ menang sebagai Ketua Pemuda UMNO.Kata Dr M, delegasi Pemuda pilih perasuah sebagai pemimpin jadi dia tak mau hadir.Cuma bila Mahyuddin menang baru dia pi ke PAU.

Tapi aku pun hairan pasai apa Dr M masuk balik dalam UMNO sedangkan KJ masih Ketua Pemuda dan Ali Rustam masih Ketua Perhubungan UMNO Melaka? Adakah Dr M sudah 'menyokong' parti yang mempunyai pesalah rasuah politik wang?

Atau Dr M juga mudah lupa dalam tempuh seminggu!

Thursday, March 26, 2009

Sah parti Cap Ayam parti RASUAH

Pertama:

Keputusan Orang Muda Cap Ayam sudah di ketahui.

Nampaknya perwakilan Orang Muda Cap Ayam merestui orang di hukum melakukan rasuah/politik wang telah di pilih menjadi ketua mereka yang baru.

Bak kata ex-memanda Madet: Orang yang sokong perasuah bermakna sokong rasuah.

Yang aku pasti ada hulubalang Melaka pasti frust menonggeng kerana tak dapat bertanding. Dgn keputusan nalan tadi pasti hulubalang boleh menang besar kalau dapat bertanding.

Hidup RASUAH!

Kedua: Di luar dewan di lapurkan(secara langsung dari spy aku di PWTC) budak-budak KJ dan budak-budak Mukhriz dok bertumbuk sakan.

Mari kita lihat mata sapa yang LEBAM.

Hidup GOCHOH!

Thursday, February 19, 2009

Apa yang immoral dan apa yg bermoral.

Salam semua.

Dah heboh saentero Malaya tentang kisah tersebarnya gambar seorang YB.

Maka seorang pemimpin UMNO Selangor,kawan lama aku iaitu Mat Khir Toyo pun bersuara: YB Eli Wong kena letak jawatan kerana apa yang berlaku adalah sesuatu yang immoral.

Memang hebat cakap Mat Khir tentang moral.

Cuma aku jadi tertanya-tanya: Nilai moral apa yang kita ambil dalam hal ini? Adakah nilai moral Melayu dan Islam yang mana kedua-duanya bukan terkena pada YB Eli kerana dia berketurunan Cina dan beragama Kristian.

Adakah dalam budaya orang-orang Cina atau dalam agama Kristian ada larangan bagi seseorang itu untuk tidur bogel atau separuh bogel di dalam rumah sendiri?Lainlah kalau berbogel atau bercawat di khalayak ramai.( eh...pakai bikini di tepi pantai kira separuh bogel tak?)

Dalam Islam pun, seseorang boleh untuk tidak menutup aurat dalam rumah sendiri jika tiada orang yang bukan mahramnya.

Bagi Mat Khir pula seorang wakil rakyat yang tidur bogel dalam rumah sendiri adalah tidak bermoral.

Jadi aku cuma nak bertanya pada Mat Khir dan yang lain-lain: Adakah bermoral bila:

1-Rasuah-tak kiralah memberi atau menerima

2-Politik Wang( yang ni bukan rasuah kalau ikut Kamus UMNO/BN)

3-Kroniism- pakat bagi bantuan pada ahli-ahli parti. Kalau nak turap jalan kampong kalau kroni boleh tar sampai depan pintu rumah.kalau rumah orang 'sebelah sana' jangan harap lah...Atau pakat beri projek kepada ketua bahagian atau cawangan.

4-Salah guna kuasa- hang pa interprate lah seniri apa itu salah guna kuasa.Aku tak kuasa.

5-Tutup mata atas rasuah yang di lakukan oleh kroni atau teman politik atau pun bak kata ex-YB Jasin dulu: Close one eye.

6-Membazir wang rakyat untuk majlis-majlis yang membazir.Hangpa tahu dak? Bila nak buat apa-apa majlis belanja untuk persiapan logistik dan infra tinggi nak mampuih.Yang dapat contract makan atau khemah atau buat T-Shirt atau baju batek senyum dari telinga ke telinga. Sunnguh aih aku tak muhong.

7-Merampas kuasa secara bacul- macam di Perak tu lah.Dan pernah di Trengganu tahun 59 kot.Di Sabah pun sama.

8-Menggunakan badan berkuasa untuk menakut-nakutkan rakyat. Sapa lagi kalu bukan mat bond-mat bond atau pak datok pak datok.Guna lori merah berloceng besar siap dengan semburan air dan gas pemedih mata.

9-YB meraba punggung waitress di pub/kelab malam. Ada dengaq dia offer nak resign dari jadi MP dan Menteri ka? Atau offer nak cukoq janggut ka?

10-YB atau isteri YB yang Muslim tidak menutup aurat tapi membiarkan jambul "woody woodpecker" tersembul keluar. Hangpa tunggu dan tengok masa Perhimpunan Agung nanti.

11-Memukul orang yang di SYAKI sebagai penjenayah ketika dalam tahanan

12-Memukul sehingga mati orang yang di SYAKI penjenayah ketika dalam tahanan

13-Men'ciluk' duit Balkis bila hilang kuasa. Berjuta pulak tu.Sungguh amat bermoral.

14- Merosak dan memusnahkan dokumen rasmi bila kerajaannya jatuh. Kalu bermoral sangat apa yang nak di takutkan?

15- Pemimpin Melayu Islam menyimpan mistresses atau dok tunggang arak di kelab eksklusif atau dok berjudi sakan. Eh...tak dak ka pemimpin Melayu Islam yang buat lagu tu?

Kalau nak listkan kegiatan yang 'bermoral' yang banyak kita lihat pemimpin buat tak cukup rasanya.Kalau hangpa nak tokok tambah silakan.Aku tak marah aih....

So, DS Mat Khiaq.....amacam? Boleh komen sikit?

Friday, February 13, 2009

2009 is not year of the Ox but Year of the FROGS






Pilihlah akuu...jadi YB mu...akan ku lompat....


Katak Perak- 4 ekor


Setakat ni tak ada lagi katak hijau dari PAS melompat
(Eh Yob! Kome jangak nak pecah rekod jadi katak hijau yang pertama meloncat Yob!)



Katak Berang dan Jering menunjuk warna PKR dan BN
( Eh Yob! Kome ada serapah tak nak bagi biru muda ni jadi biru tua?)




Complete transformation of Berang and Jering to BN
( Eh...eh...memang kome terer bebenor Yob! Sekejapan kita udah jadi biru gelap)




Katak Jelapang mali maa....
(Aiyaa....manyak susah lompat satu olang loo....)




Kah..kah...kah...Mari kita tengok siapa nak lompat!!


Melentur buluh biar dari rebungnya.
Mengajar lompat biar dari baby kataknya




Aik? Katak BN dan transform jadi katak PKR pulak ke?
Tadika Kemas Katak


Tadika Kemas Katak


Ini lah harapan rakyat Malaysia.Biar katak hilang dari alam politik negara.

Wednesday, February 11, 2009

Bukit Gantang: DS Nizar vs Datuk Zambry.


Salam buat semua.

Kita cuma menunggu pengumuman dari SPR bila pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang akan di laksanakan.

Kalau mengikut calun-calun Mac 2008 lalu berkemungkinan besar PR akan meletak calun PAs dan BN akan meletakan calun UMNO.

DAP Perak mencadangkan calun PR ialah DS Nizar. Datuk Nik Aziz kata tak payah letak DS Nizar kerana dia masih MB Perak.

Aku cadangkan bagi PArlimen Bukit Gantang:

DS Nizar (PAS/PR) bertanding dengan Datuk Zambry(UMNO/BN).

Amacam? Boleh?

Tuesday, February 10, 2009

Wakil rakyat lompat parti: 4 soalan.


Perkara ini telah bermain di fikiranku sejak tahun lalu bila mana DSAI mendakwa akan mengambil alih teraju kerajaan Malysia bila dia mendakwa akan ada wakil rakyat BN melompat kepada PR. Aku memang tidak setuju langsung dengan idea DSAI seperti mana aku tidak setuju dengan apa yang berlaku di Perak baru-baru ini.

Bagi aku itu bukan cara jantanman untuk mendapat kuasa. Jika hendak berkuasa biarlah dengan cara yang betul iaitu mendapat mandat rakyat.

Wakil-wakil rakyat di pilih mungkin atas dasar dia mewakili parti atau mungkin di pilih kerana keupayaan atau keperibadiannya.Tapi , apa pun dia bertanding atas tiket partinya.

Bila dia dipilih kita harus menghormati pengundi-pengundi di kawasan itu.

Kita tidak boleh mengatakan boleh jika wakil rakyat melompat ke parti kita dan kata tidak bleh bila bila dia melompat ke parti lawan. Kita mesti konsisten dalam pendirian dalam hal ini.

Jadi aku dengan jelas ingin mengatakan bahawa aku TIDAK SETUJU dengan perangai wakil rakyat melompat parti dan aku MENYOKONG jika undang-undang anti-party hopping di bentang,di perdebatkan dan di persetuji oleh Dewan Rakyat. Untuk kebaikan jangka masa panjang ini amat di perlukan.

Jika ada mana-mana wakil rakyat ingin melompat parti maka letaklah jawatan agar di adakan semula pilihanraya kecil dan biar pengundi buat keputusan samada setuju atau tidak .

Jadi di sini aku ada 4 soalan untuk teman-teman fikir dan renungkan.Terpulanglah masing-masing setuju atau tidak.

Soalan 1:
Adakah anda setuju dengan melompat parti oleh wakil rakyat yang anda pilih(atau tidak pilih)?


Soalan 2:
Bolehkah perbuatan melompat parti di anggap sebagai tidak amanah?


Soalan 3:
Adakah dengan membiarkan wakil rakyat melompat parti boleh menggalakkan rasuah?

Soalan 4:
Adakah melompat parti dan kemudian melompat semula boleh menyebabkan iklim politik tidak stabil?

Adakah derhaka jika DS Nizar mengikut sunnah Nabi SAW?

Heboh satu Malaya.Hmm....heboh satu UMNO Malaya sebenarnya.
Heboh tentang DS Nizar menderhaka. Itulah istilah yang pemimpin-pemimpin UMNO gunakan bagi mensifatkan DS Nizar.

Tapi betulkah DS Nizar derhaka? Aku rasa sebenarnya DS Nizar mengikut sunnah Rasulullah SAW.
Dan sunnah Nabi SAW adalah lebih berharga dari titah mana-mana raja dalam dunia.Kerana sunnah Nabi SAW berlandaskan firman ALLAH Azza WA Jalla. Sedangkan titah raja mungkin terdorong oleh hanya akal atau perasaan atau nafsu.

Mengikuti sunnah Nabi SAW ,InsyaALLAh akan mendapat syafaat baginda di akhirat nanti. Ikut titah raja belum tentu lagi.....

Keenganan DS Nizar meletak jawatan bila di titahkan oleh raja adalah seperti sabda Nabi SAW kepada sahabat besar Uthman bin Affan r.a. iaitu:-


hadithuthman

“Wahai Uthman, seandainya suatu hari nanti kamu dilantik oleh Allah mengendalikan urusan kepimpinan ini, dan kaum munafiq mahu menanggalkan pakaian engkau yang Allah pakaikan kepadamu, maka JANGANlah engkau menanggalkannya!” [riwayat Ibn Majah]


Jadi, adakah derhaka jika seorang pemimpin Muslim mengikut sunnah Nabi SAW?

Rencana menarik di sini.....Ibrah Sulaiman

Saturday, February 7, 2009

PAS, jangan lagi di pergunakan oleh pihak lain.

Salam semua:

Melihat apa terjadi di Kuala Kangsar pada Jumaat 6 Februari 2009 aku jadi terkedu. Demonstrasi jalanan di adakan kerana membantah perlantikan dan majlis angkat sumpah MB baru dari BN , hasil perbuatan melompat oleh 2 ADUN PKR dan seorang ADUN DAp serta kemasukkan semula ADUN Bota ke dalam parti asalnya ,UMNO.

Aku faham tentang ketidakpuasan hati penyokong Pakatan Rakyat dan penyokong YAB Nizar(PAS). Tetapi mereka tentu maklum selama ini demonstrasi jalanan dalam isu ketua kerajaan negeri jarang memberi kesan kepada pihak istana.

Demonstrasi yang dilakukan telah menimbulkan fitnah terhadap yang menyertainya.Mereka telah di bedil dengan bom pemedih mata.Ada yang khabarnya di sepak di terajang. Ada yang bertindak brutal dengan membaling batu atau botol ke arah kenderaan Raja Muda Perak.
Tindakan berdemo telah memberi peluang kepada pihak berkuasa dan agensi-agensi kerajaan Pusat untuk mengambil kesempatan yang luas untuk menghentam Pakatan Rakyat.

Yang membuat rasa lebih pilu, di khabarkan( not verified) yang menyertai demo tersebut adalah ahli-ahli PAS. Ke mana pergi ahli-ahli PKR dan DAP? Bukankah budaya demo jalanan merupakan budaya dari PKR?
Demo jalanan bukan menjadi budaya PAS . Bukan juga budaya yang di petik dai as-Sunnah.

Adakah ahli PKR tidak hadir kerana kemelut ini disebabkan oleh 2 ADUN PKR yang melompat?
Dan adakah ahli DAP tidak ikut berdemo kerana malu ADUN DAP juga lompat parti?

Aku sayu kerana bagi aku PAS sekali lagi membiarkan mereka di gunakan oleh pihak lain. Aku masih ingat ketika PRU 12, banyak kerusi yang sering PAS tandingi(tapi tak menang ) tetapi mempunyai potensi yang baik di sedekahkan kepada PKR terutama di Perak antaranya Cangkat Jering yang mana segala gerak kerja kempen di lakukan oleh petugas PAS Taiping.

Mungkin akan ada ahli PAS yang marah dengan statement ini.Tapi aku sendiri adalah ahli PAS seumur hidup dan InsyaALLAH menjadi ahli sehingga ke liang lahad. Melainkan jika PAS tukar prinsip tak mahu lagi menegakkan Islam.

Dan aku percaya PAS boleh menerima teguran ini kerana selama ini PAS memang terbuka kepada teguran.Bertindaklah mengikut al-Quran, asSunnah dan sirah para sahabat Rasulullah SAW kerana itulah yang PAS mahu perjuangkan selama ini

Cerita ceriti hujung minggu

Salam buat semua.

Kisah rompakan di Perak masih belum reda malah terdapat new twist and turns untuk menghanginkan jiwa lara peminat politik( peminat politik adalah orang yang suka sembang/bincang/baca/tulis/dengar dan bercakap hal-hal politik tetapi majoriti hanyalah pandai sembang saja....macam aku ni lah!). Banyak dalam perancangan dan juga rancangan counter sedang di susun oleh BN dan PR.

Kemelut ini secara langsung membabitkan istana.Dalam setahun sudah 2 insiden membabitkan istana berkenaan jawatan MB.Yang pertama di Trengganu dan kini di Perak. Walaupun punca kes adalah berbeza senarionya tetapi reaksi yang tercipta adalah sama : iaitu ada yang marah kepada baginda Sultan kedua-dua negeri.

Yang marah adalah kumpulan yang melihat mereka menjadi mangsa. Di Trengganu yang marah adalah kumpulan UMNO yang memihak kepada Idris Jusoh. Di Perak pula adalah pendokong dan penyokong Pakatan Rakyat yang mahu Nizar terus memimpin negeri.

Kita lihat di Trengganu dan Perak kumpulan yang merasi telah di zalimi membuat perhimpunan jalanan.Cuma cara tindakan pihak Polis sahaja yang berbeza.Polis lebih tegas dan ganas di Perak berbanding di Trengganu dengan hanya menjentik telinga sahaja. Mengapa severity tindakan Polis berbeza hangpa pikior lah sendiri.

Dalam kedua-dua himpunan jalanan ini memqang ada unsur-unsur emotional yang meluahkan kemarahan dan kebencian terhadap baginda Sultan.Itu tak dapat kita nafikan. Fitrah manusia bila marah akan hilang pertimbangan dan kawalan. Bila dalam keadaan begini kewarasan kadangkala jatuh sedikit.

Marah bagaimana sekali pun, harus di ingatkan oleh kita semua, orang Melayu ni ada sentimen terhadap institiusi kesultanan.Walaupun ada keluarga diRaja yang perangai no snonoh dan rakyat tak suka perangai no snonoh ini namun dalam naluri Melayu mereka tetap menghormati institiusi Raja.

Penyokong PR harus ingat bagaimana mereka backing Sultan Trengganu ketika ada segelintir ahli UMNO 'derhaka' pada Sultan. Macam-macam dikatakan terhadap 'penderhaka' ini dan memang benar apa yang dikatakan.

Jadi janganlah kali ini penyokong Pakatan rakyat juga bersikap sama sepert 'penderhaka' UMNO di Trengganu dulu.Jika tidak tidak ada bezanya penyokong PR dengan UMNO di Trengganu dulu. Jangan jadi mengata dulang paku serpih,mengata orang kita yang lebih.

Biarlah YAB Nizar dan EXCO beliau menggunakan saluran-saluran yang legal untuk menyelsaikan kemelut ini.Paling baik jika dapat menghadap Duli Sultan semula dan presentkan kes semula. Jika handak mengambil tindakan undang-undang ambillah terhadap Zambry atau Najib atau BN atau UMNO. Tak perlu babitkan Sultan lagi.

Perlu di ingatkan ketika ini sokongan terhadap PR meningkat dengan apa yang berlaku.Tapi kena ingat sokongan itu akan jatuh jika tindakan di lihat sebagai 'derhaka' terhadap Sultan.
Jika tiada penyelesaian kali ini tak apa. Go to the ground and make sure PR dapat menang dengan lebih besar pada PRU 13 nanti.

Ketika ini rakyat melihat Nizar sebagai mangsa kerakusan pihak yang ingin memulihkan imej Najib sebelum Jun 2009 ini. dengan imej di zalimi PR pada PRU 13 nanti mintalah keadilan dari rakyat Perak.

Kepada YAB Nizar,walau apapun tindakan yang bakal Datuk ambil janganlah sehingga imej Datuk yang tinggi sekarang akan di cemuh oleh rakyat terutama orang Melayu.InsyaALLAH Datuk akan lebih di hormati.Mengalah bukan bereti kalah.

Episod Perak patut menjadi pengajaran kepada semua parti politik agar meletak calun-calun yang benar-benar berjuang untuk rakyat dan bukan untuk mengkayakan diri masing-masing.Calun-calun mestilah tiada masaalah seperti pernah di ketahui mengamalkan tumbuk rusuk samada dia menumbuk rusuk atau dia di tumbuk rusk sebelum di pilih sabagai calun. tanyalah orang-orang di Taiping dan Kemunting tentang Cangkat Jering. Jika ketua-ketua Perhubungan Negeri tidak berhati-hati anda akan meletakkan bakal katak cum kangaroo menjadi wakil anda yang niat lebih kepada kaut selagi boleh.Nasihat ini untuk semua parti.Ikhlas.

Adakah akan ada peralihan kuasa dan pemilihan UMNO Mac 2009 nanti? Tilikan dan renungan aku(yang dulu ada belajar sikit-sikit dari Pak Blalang) mengatakan tidak. Datang Mac 09 nanti semua ini akan di tangguhkan ke bulan Jun 2009. UMNO memerlukan sedikit masa untuk menaikkan imej Najib selepas coup di Perak. mereka perlu tonjolkan Najib sebagai hero sejati dengan mengambil sebuah lagi negeri di utara tanahair. Soksek soksek kedengaran akan ada beberapa ekor katak sedang berlatih untuk melompat seumpama kangaroo di utara. Katak mana yang sanggup melompat? Tenung-tenung,renung-renung,usha-usha lah dengan episod Perak dan anda mungkin boleh agak YB mana yang katak berhajat menjadi kangaroo tersebut. janji masyukkk....

Selain itu dengan penangguhan ke bulan Jun 09 UMNO akan dapat mengelak 'perpecahan' di kalangan Wanita UMNO.Akan tidak berlaku pertarungan Rafidah-Shahrizat yang boleh membawa kesan negatif pada UMNO. Kita semua maklum Rafidah telah 'berjanji' untuk hand over pada Shahrizat pada Jun 2009 dan itulah yang bakal berlaku.

Anda tak percaya? Kita tunggu dan lihat samada akhir Februari atau awal Mac 2009 pengumuman akan di buat oleh UMNO.

Wednesday, February 4, 2009

Pilihanraya Sederhana Perak: Berani kah mereka menghadapi rakyat?

Dengar khabar DUN Negeri Perak akan di bubarkan bagi membolehkan piliharaya sederhana(sebab bukan pilihanraya kecil dan bukan jugak umum) berikutan kemelut politik yang melanda Perak sejak 2 minggu lalu.

Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinan Datuk Ir Nizar mahukan mandat baru(fresh mandate) dari rakyat Perak dan seterusnya menshut-upkan pengacau-pengacau dan pengkritik-pengkritik beliau.

Aku lihat ini satu tindakan yang berani oleh YAB Nizar yang jika salah perkiraan boleh melenyapkan kerajaan pimpinan beliau.Tapi sudah tentu segala perkiraan dan percaturan dan strategi telah beliau dan barisan kepimpinan negeri telah fikirkan.

Melihat kepada suasana perasaan rakyat di beberapa tempat di Perak aku rasa tiada masaalah Pakatan Rakyat untuk terus kekal sebagai kerajaan negeri Perak.Malah aku tidak terkejut jika PR akan lebih cemerlang dari Mac 2008 yang lalu.

Pilihanraya ini juga adalah peluang besar bagi PKR dan DSAI untuk membersihkan PKR Perak dari makhluk-mahluk yang mempunyai masaalah merajuk atau masaalah perangai yang mereka terbawa-bawa ketika mereka dalam MeNo suatu masa lalu. Harap2 PKR dapat melaundrykan PKR Perak. Jangan lagi meletak calun yang asal boleh.Jangan lagi mengecewakan PAS Perak yang dengan hati terbuka walau berat memberi DUN-DUN yang menjadi kubu kuat PAS ketika PRU MAc 2008 untuk di pertandingkan oleh calun PKR( yang sudah menjadi katak).

Yang jelas PR berani menghadapi rakyat Perak untuk mendapat mandat baru.

Bagaimana dengan UMNO dan BN Perak? Adakah mereka rela di adakan pilihanraya sederhana? Atau mereka mengharapkan dapat mentopple kerajaan PR dengan menubuhkan kerajaan(yang juga akan menjadi nipis majoriti) dengann terlompatnya 3 ekor katak keluar PR?

Jika pilihanraya di adakan semula ,berkemungkinan besar pada bulan Mac 2009. Ini lah bulan yang akan menyaksikan pemilihan kepimpinan UMNO.Bulan yang Najib akan naik tahta UMNO menjadi Presiden dan sekali gus PM( kalau Pak Lah tak ubah fikiran lah).

Sanggupkah UMNO menghadapi kempen besar pada masa yang sama.Tidakkah ada kemungkinan akan berlaku banyak acara membasuh dirty laundry nanti kerana merebut jawatan dan sekaligus terlepas Perak. Umum maklum sabo menyabo ni ketika pemilihan pari.

On their bright side, pilihanraya di Perak bakal memberi pendapatan lumayan yang tidak boleh di anggap politik wang kepada tukang-tukang kempen BN . Rasuah akan di alaskan dengan alasan untuk pembangunan Negari Perak tapi yang masuk kocek milik siapa? Dan ke dalam kocek siapa?

Adakah UMNO sudah merasakan rakyat Perak sudah mula menerima mereka semula?

Sama-sama kita lihat.

Aku cuma mahukan piliharaya yang adil tanpa rasuah,mengugut rakyat dan sikap SPR yang telus dan bukan menjadi boneka kerajaan Pusat.

Dulu buruk la ni cantik sungguh....

Sarkas 1 : Fuh!!Hebat sungguh 2 YB 2 noo....

Sarkas 2: YB yang mana ni?

Sarkas 1: Alah...sorang dari Cangkat Petai sorang dari TemBehrang tu laa....Yang dah lompat keluaq dari parti depa.

Sarkas 2: Ohh...yang 2 orang tu. Tapi hari tu hang marah sangat bila YB Bote yang MeNo tu lompat masuk Pikeyar.Siap sampai hang kata kena buat undang-undang anti lompat parti. La ni boleh pulak ka?

Sarkas 1: Last week memang tak boleh tapi minggu ni boleh...

Sarkas 2: Awat pulak la ni boleh?

Sarkas 1: Boleh la pasai depa nanti nak masuk MeNo.

Sarkas 2: Ooo....macam tu buleh no. Tapi yang aku tahu YB Cangkat Petai ngan YB TemBehrang ni dulu MeNo tuduh depa ni rasuah dan ada skandal sex.Siap kata dah orang sedekah pelacur dia ambik laa....Takkan MeNo nak ambik orang macam tu?

Sarkas 1: Apa nak heran depa macam tu. Ramai lagi dalam MeNo yang dok perangai macam tu la ni...Jadi depa memang sesuai lah dengan MeNo. Macam sirih pulang ke ganggang.

Sarkas 2: Patutlah rakyat dok kata MeNo ni parti yang halalkan rasuah dan skandal....

Wednesday, March 5, 2008

Dakwat oh dakwat...


Rashid SPR dan Musa Hassan KPN kata menggunaan dakwat utk PRU 12 di batalkan kerana ada 4 lapuran polis KONON-KONOnya ada kumpulan( sapa lagi maksud depa kalau bukan pembangkang) dah beli dakwat dari luar negara( dari Siam ka?) dan nak tipu pengundi yang tak faham tentang penggunaan dakwat.

Aku nak kata macam ni: Rashid dan Musa kalau nak kelentong rakyat,kelentong lah secara bijaksana. Jangan lah jadi ngong.Jangan lah bangap.

Kalau lah benar dakwaan Rashid dan Musa( dua orang ni memang susah nak di percayai), tak boleh kah di educatekan rakyat?

Begini caranya nak educate rakyat:
Buat satu clip tentang penggunaan dakwat. Suruh Yasmin Ahmad buat. Sheih kickdafella pun boleh. Muteaudia pun boleh. Jangan suruh Finas saja becoz if you ask Finas you Finis.

Bila dah siap, setiap kali ada waktu iklan di TV, siarkan saja. Tak boleh ka macam tu?Awat tak boleh pulak?

Yang seminggu ni semua stesen TV dok tunjuk BN itu BN ini setiap kali ada break iklan tu apa? Awat yang tu boleh?

Ohh...pasai kalau ajar rakyat tentang dakwat hangpa susah nak tipu lah masa PRU nanti? Susahlah pengundi hantu interstate dan mengundi 2 kali macam 2004 dulu ya?

Sebab kalau bukan sebab nak bela pengundi hantu aku tak nampak alasan mengapa dakwat tak boleh di gunakan.

PAk Lah hang pun tak payah nak bagitahu kami kata SPR ubah itu ini bukan sebab tekanan politik BN. Poorah!!!Jadi selama ni SPR dan Rashid saja-saja syok tukar segala peraturan pasai nak bagi semua parti gabra? kalau sebab tu,awat yang hang pi sambung kontrak dia dan pinda perlembagaan sebab nak bagi dia jaga SPR?

Saturday, February 16, 2008

Memilih pemimpin: Apa ciri-ciri yang perlu.







Kelayakan Dalam
Kepimpinan
Oleh: Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Sabda Nabi s.a.w. maksudnya:
"Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ianya pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya." *1

Dalam riwayat al-Imam Muslim yang lain : Daripada Abu Zar, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku melihat engkau seorang yang lemah, sesungguhnya aku suka untuk engkau apa aku suka untuk diriku. Maka jangan engkau menjadi ketua ke atas dua orang dan jangan engkau uruskan harta anak yatim."
---------------------------------------
Huraian :

Dalam hadith ini Rasulullah s.a.w. tidak memberikan jawatan sekalipun kepada Abu Zar, seorang sahabat yang sangat dikasihi baginda, apabila dilihat ciri-ciri kelayak tidak wujud sepenuh. Abu Zar adalah seorang sahabi yang soleh lagi warak dan zuhud. Namun begitu, amanah jawatan dan politik berhajat ciri-ciri yang yang lebih dari itu, yang bukan semua individu memilikinya. Justeru itu tidak semua sahabah layak mengendalikan urusan siyasah atau politik seperti al-Khulafa ar-Rasyidun. Demikian juga bukan semua mereka kuat agama boleh mengendalikan urusan politik.

Juga hadith ini menonjolkan sikap yang terpuji Abu Zar r.a. yang meriwayatkan ucapan Nabi s.a.w, sekalipun inti kandungannya menyatakan kelemahan dirinya dalam kepimpinan. Ini amanah ilmu dan kejujuran para sahabah yang menyampaikan ajaran Rasulullah s.a.w kepada umat.

Berpandukan al-Quran dan as-Sunnah, maka para ulama ahli sunnah yang silam seperti Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) telah membahaskan persoalan ini. Dengan itu umat Islam tidak sepatutnya hilang garisan dalam perlantikan dan pemberian kuasa terutamanya dalam hal politik.

Hadith ini juga menjelaskan besarnya tanggungjawab kepimpinan dan pengurusan di dalam Islam dan bukan sebarangan individu yang benar-benar mampu memikulnya.

Justeru itu memberikannya kepada seseorang yang tidak memiliki keahlian atau kelayakan adalah punca kerosakan masyarakat dan umat. Kerosakan sistem masyarakat menatijahkan kerosakan individu keseluruhannya. Nabi s.a.w. sering memberi amaran tentang kemusnahan hidup apabila amanah dikhianati.

Sabda Nabi s.a.w. Maksudnya:

"Daripada Abu Hurairah dia berkata: “Ketika Nabi s.a.w. di dalam suatu majlis berbicara dengan orang ramai maka datang seorang `arab badawi lalu bertanya: "Bilakah hari kiamat?". Rasulullah s.a.w. meneruskan ucapannya. Ada yang berkata "Baginda dengar (apa yang ditanya) tetapi baginda tidak suka apa yang ditanya". Sementara yang lain pula berkata "Bahkan baginda tidak mendengar". Apabila telah selesai ucapannya, bagida bertanya: "Manakah orang yang menyoal". Jawab (badawi tersebut): "Saya di sini wahai Rasulullah". Baginda bersabda: "Apabila dihilangkan amanah maka tunggulah kiamat". Tanya badawi tersebut: "Bagaimanakah menghilangkan amanah itu". Sabda baginda: "Apabila diserahkan urusan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat". *2

Firman Allah (maksudnya) :"Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia hendaklah kamu berhukum dengana `adil." *3

Kata al-Imam al-Qurtubi : "Ayat ini adalah pusat segala hukum-hakam yang mengandungi seluruh isi agama dan syara'." Katanya juga: "Yang sebenarnya ayat ini adalah umum untuk semua manusia, ianya menyentuh para pemerintah mengenai amanah yang mereka tanggung dalam membahagikan harta-harta, menolak segala kezaliman dan adil dalam pemerintahan. Demikian juga, ayat ini juga menyentuh golongan yang selain mereka.." *4

Itulah titah perintah Allah, agar posisi penting di dalam kepimpinan umat hanya diberikan kepada yang benar-benar layak menyendalikannya sehingga tidak berlakunya kepincangan, kecacatan dan kezaliman. Persoalan amanah merangkumi setiap aspek hidup, terutamanya persoalan kenegaraan. Termasuk dalam rangkaian amanah persoalan pentadbiran rumahtangga, pejabat, kampung, sekolah dan seumpamanya. Namun huraian para ulama banyak tertumpu kepada persoalan sistem politik dan negara kerana natijah kerosakan adalah besar jika amanah mengenainya diabaikan. Sekiranya pemimpin yang dipilih berkelayakan maka sejahteralah seluruh rangkaian di bawahnya. Sekiranya cacat maka cacatlah seluruh rangkaian dibawahnya.

Di atas nama amanah maka seseorang dituntut membuat pemilihan dan perlantikan yang tepat dengan tuntutan jawatan yang ada. Sekiranya tidak, maka dia dianggap pengkhianat. Apakah ciri-ciri yang jika seseorang melandasinya maka dia tidak dianggap khianat dalam perlantikan?
Ciri-ciri pemimpin yang perlu di pilih:

Secara umumnya pemilihan yang bertanggungjawab berteraskan dua ciri asas yang mesti ada pada tokoh yang bakal dipilih iaitu ciri al-Quwwah dan al-Amanah.

Allah menyebut di dalam al-Quran menceritakan kisah Musa a.s.:

(maksudnya) "Sesungguhnya sebaik-baik orang yang hendak engkau ambil bekerja ialah yang kuat (berkemampuan) dan amanah (dipercayai)." *5

Maka tugasan yang diberikan kepada seseorang wajar dilihat pada dua ciri utama yang disebut di dalam nas di atas. Ini seperti yang dihuraikan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah di dalam as-Siyasah asy-Syar`iyyah fi Islah ar-Ra`i wa ar-Ra`iyyah iaitu:

Pertama: Al-Quwwah iaitu kekuatan, kemampuan dan kemahiran menjalankan tugas.

Ciri-ciri al-Quwwah atau kemampuan merujuk bidang tugas yang diberikan. Contohnya, jika jawatan berkenaan berkaitan ekonomi konsep al-Quwwah merujuk kepada kemahirannya dalam pengurusan ekonomi. Bagi bidang kehakiman maka al-Quwwah merujuk kepada pengetahuan dalam persoalan hukum-hakam. Dalam bidang ketenteraan merujuk kepada persoalan kepakaran medan perang, semangat juang dan keberanian.

Kedua: Al-Amanah iaitu bersikap amanah atau bertanggungjawab.

Ini merujuk kepada tiga perkara utama iaitu: Takutkan Allah, Tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah untuk mendapat habuan dunia dan tidak takutkan manusia.

Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: "Hendak dipastikan orang yang terbaik bagi setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah dan al-Amanah.
Ini seperti yang Allah firmankan: (maksudnya) "Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah."

Kata Raja Mesir kepada Yusuf a.s. : (maksudnya) "Sesungguhnya kamu hari ini menjadi orang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai" *6

Firman Allah dalam menyifatkan Jibril:

(maksudnya) "Sesungguhnya al-Quran itu benar-benar firman (Allah yang dibawa oleh) utusan yang mulia (Jibril). Yang mempunyai kekuatan, yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi (Allah) yang mempunyai `arsy. Yang ditaati (di alam malaikat) lagi dipercayai) *7

Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah lagi: "Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kemampuan dalam berbagai jenis peperangan. ...
al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan as-Sunnah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Dan amanah pula merujuk kepada perasaan takutkan Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia.


Inilah tiga ciri yang ditetapkan Allah bagi setiap yang memerintah manusia, firman Allah: (maksudnya):

"Kerana itu janganlah kamu takutkan manusia
(tetapi) takutlah Aku, jangan kamu membeli ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit. Barang siap yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan Allah maka mereka itulah orang-orang kafir) [Surah al-Maidah: ayat 44] *8
Oleh itu sesiapa yang melantik atau memilih seseorang bagi mengendalikan sesuatu urusan yang berkait dengan umat tanpa diteliti persoalan al-Quwwah dan al-Amanah atau persoalan kemampuan dan amanah bererti telah menyerahkan urusan bukan kepada ahlinya. Perbuatan itu mengundang kemurkaan Allah.

Timbangan yang telah digariskan oleh al-Quran dan dihuraikan as-Sunnah serta dibahaskan oleh sarjana-sarjana atau para ulama Islam yang seperti Ibn Taimiyyah, dapat dimanfaatkan oleh setiap individu dalam mengatur urusan pentadbiran dan kehidupan dalam semua aspek. Di mana pun posisi seseorang, sama ada pemimpin negara di peringkat negara atau negeri atau apa sahaja, maka setiap tugasan yang bakal diserahkan kepadanya berpandukan konsep al-Quwwah iaitu kemampuan untuk melaksanakan dan al-Amanah iaitu perasaan
takutkan Allah dari melakukan pengkhianatan atau kecuaian. Sekiranya dua perkara ini dipastikan, maka sudah tentu tanggungjawab kepimpinan tidak akan dicemari, kekusutan masyarakat tidak akan timbul.

Kadangkala kita mungkin bertembung dengan satu masalah iaitu ketandusan tokoh untuk sesuatu jawatan melainkan dua orang atau jenis kelompok sahaja, seorang atau satunya daripadanya memiliki al-Quwwah atau kekuatan dan kemampuan tetapi kurang amanah, sementara seorang lagi satu kelopok lagi memiliki ciri amanah iaitu solih dan bertanggungjawab tetapi lemah atau tidak berkemampuan, siapakah yang patut dipilih?

Dalam hal ini maka para `ulama al-siyasah al-syar`iyyah menyatakan pemilihan dalam keadaan sebegini hendaklah dilihat kepada jenis atau keadaan jawatan yang hendak diserahkan, kemudian menilai siapakah yang paling boleh memberi manfaat dan paling kurang mudharatnya apabila menduduki jawatan tersebut. Sekiranya jawatan berkenaan berteraskan kepada kekuatan seperti medan peperangan maka hendaklah didahulukan yang memiliki kekuatan dan keberanian walaupun kurang solih ataupun tidak baik peribadinya. Sekiranya jawatan berhajat kepada amanah yang lebih seperti mengendalikan kewangan maka hendaklah didahulukan yang amanah walaupun ada kelemahan dalam pengurusannya.

Di atas sebab ini maka Rasulullah s.a.w. memilih Khalid bin al-Walid r.a. mengepalai tentera Islam dan menggelarnya sebagai pedang Allah walaupun ada para sahabah yang lebih besar kedudukannya di sisi Nabi s.a.w. Ini kerana kemampuan yang dimiliki Khalid tidak dimiliki oleh mereka. Sekalipun Rasulullah s.a.w. pernah menegur beberapa tindakan Khalid yang tidak disetujui oleh baginda.



Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: [i]"Apabila dua orang lelaki, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaaan dan paling kurang mudharatnya bagi jawatan tersebut. Maka dalam mengepalai peperangan, lelaki yang kuat dan berani walaupun padanya ada kejahatan diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah.
Ini seperti yang ditanya kepada al-Imam Ahmad: Mengenai dua lelaki yang menjadi ketua di dalam peperangan, salah seorangnya kuat tetapi jahat dan seorang lagi solih tetapi lemah, siapakah yang layak berperang? Jawab al-Imam Ahmad: "Yang kuat dan jahat, kekuatan untuk kepentingan orang Islam, kejahatannya untuk dirinya sendiri adapun yang solih tetapi lemah maka kesolihannya untuk dirinya tetapi kelemahannya merugikan orang Islam" *9

Maka dalam perlaksanaan pembahagian tugas atau perlantikan jawatan, hendaklah dipastikan perkara berikut:

Pertama: Melantik individu atau tokoh yang memenuhi ciri al-Quwwah dan al-Amanah,

Kedua: Sekiranya berlaku kekurangan tokoh yang berlayakan melainkan setiap orang memiliki kecacatannya yang tersendiri, maka hendak dibandingkan kelemahan yang ada dengan tugas yang bakal dipikul. Ini dilihat siapakah yang paling bermanfaat dan paling kurang mudarat untuk tugasan tersebut.

Oleh itu usaha untuk mewujudkan kelompok manusia yang memiliki dengan sempurna
kedua-dua ciri ini adalah tanggungjawab besar umat agar terpeliharanya kita daripada golongan yang khianat dan merosakkan masyarakat. Perlu disedari, apa ertinya jika generasi pakar teknologi atau ilmu-ilmu lain yang tanpa amanah atau dalam kata lain perasaan takutkan Allah yang akan menyebabkan mereka menggunakan kepintaran dan kecekapan untuk merosakkan tanggungjawab, melanggar hukum-hakam Allah sekaligus merosakkan umat. Pun begitu kita juga tidak mahu menyerahkan tugasan kepimpinan umat kepada suatu kelompok manusia yang baik, salih atau pandai agama tetapi jahil tentang selok belok pentadbiran dan perlaksanaannya sehingga mudah ditipu oleh golongan musuh dan pengkhianat yang menyebabkan kelemahan dan kelembapan perjalanan urusan umat.
Maka menjadi tanggungjawab umat mencari pemimpin yang solih lagi takutkan Allah dengan melaksanakan seluruh arahan dan meninggalkan seluruh tegahanNya di samping pakar dan cekap dalam mengendalikan pentakbiran dan urusan.

---------
*1 Riwayat Muslim dalam Sahihnya, kitab al-Imarah..
*2 Riwayat al-Bukhari.
*3 Surah an-Nisa': ayat 58
*4 Al-Jami` li Ahkam al-Quran, 5/256, cetakan Dar al-Fikr, Beirut
*5 Surah al-Qasas ayat: 26
*6 Surah Yusuf: ayat 54
*7Surah al-Takwir ayat 19-21
*8Al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah ar-Ra`i wa ar- Ra`iyyah,m.s.27-28. Ctk. Dar al-Arqam, Kuwait
*9 Ibid, m.s.29