Friday, July 27, 2007

Tazkirah Jumaat: Taubat.






TAUBAT

Siapa yang tidak pernah melakukan dosa? Maksud saya selain dari para nabi-nabi yang maksum. Siapa? Siapa rasa yang dia tidak pernah melakukan dosa tolong angkat tangan. Sebelah tangan sahaja tak perlu kedua-dua. Ada?Tak ada ya...
Alhamdulillah, sebab kalau ada yang mengaku tidak pernah melakukan dosa, saya akan katakan kamu Pembohong Besar.

Jadi kalau kita sering melakukan dosa bukankah akan bertimbun-timbun dosa kita nanti. Mungkin sebesar gunung Kinabalu ataupun Everest. Tentu merisaukan kita, betul tak.

Tapi , masyaALLAH, ALLAH Maha Pemurah dan Penyayang kepada hamba-hamba yang beriman. ALLAH berikan satu kaedah kepada kita untuk memohon keampunan ke atas dosa-dosa kita. Kaedah itu dinamakan TAUBAT.

Dan ALLAH adalah juga Maha Penerima Taubat.

Definisi Taubat:

Taubat adalah kembali kepada ALLAH setelah kita melakukan kemaksiatan(dosa).
Taubat juga merupakan rahmat yang ALLAH berikan kepada hambaNya agar mereka dapat kembali kepada-Nya.

Kali ini saya buat ringkasan dan penambahan( serta linkage untuk lebih terperinci) satu bab dari Kitab Riyadhus Solihin ,karangan Imam Nawawi.

(Petikan dari Kitab Riyadhus Solihin karangan al-Imam An-Nawawi rahimahullah)

Para alim ulama' berkata:

Mengerjakan taubat itu hukumnya WAJIB dari segala macam dosa.
Malah ALLAH amat menyukai jika hambaNya yang telah melakukan maksiat bertaubat memohon keampunanNya sebagaimana yang difirmankan dalam Surah al-Baqarah 2:222 (penghujung ayat) yang bermaksud:

SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

Jika kemaksiatan itu terjadi antara seorang hambaNya/manusia dengan ALLAH Ta'ala sahaja, maka untuk bertaubat harus menepati 3 syarat:-

# 1) Hendaklah menghentikan perbuatan maksiat itu samasekali ketika itu juga(serta merta), bukan secara perlahan-lahan mengurangi maksiat.

# 2) Rasa menyesal kerana telah melakukan maksiat tersebut.

#3) Hendaklah berazam(berniat) untuk tidak mengulangi semula perbuatan tersebut untuk selama-lamanya.

Jika salah satu dari syarat tersebut tidak dipenuhi atau tertinggal maka TIDAK SAH taubatnya itu. (Na'uzubillahi min zalik)

Apabila perbuatan maksiat ada hubungan dengan hak sesama manusia, maka ada satu lagi syarat tambahan iaitu:

# 4) Mendapat kemaafan atau halal dari orang tersebut atau mengembalikan harta yang diambil dari orang( atau orang ramai jika itu harta negara) atau menarik balik kata-kata terhadap orang itu( yang kita mengata atau telah fitnahkan)

Seseorang wajib bertaubat dari segala dosa-dosa yang telah dia lakukan,tetapi jika dia bertaubat hanya untuk sebahagian saja dosa-dosa tersebut,maka sah taubatnya terhadap dosa yang di maksudkan sahaja. Dosa-dosa lain( yang tidak dia bertaubat) masih kekal selagi dia belum bertaubat.

Dalam al-Quran ALLAH banyak menyarankan kita agar bertaubat. Antaranya boleh kita lihat pada Surah An-Nur 24:31 (pada hujung ayat):

......dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya(bahagia).

dan dalam Surah Hud 11: 3 (awal ayat):

Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu taubat(rujuk kembali taat) kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kebahagian....


dan dalam Surah at-Tahrim 66: 8(awal ayat):

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan " Taubat Nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga ..........

Taubat nasuha itu WAJIB dilakukan dengan memenuhi 3 syarat yang telah diterangkan tadi.
Juga jangan kita melakukan atau menghampiri apa-apa yang boleh menjerumuskan kita melakukan semula maksiat tersebut.

Cara bertaubat, selain dari menyempurnakan 3 syarat( 4 jika babit insan lain) dan berdoa ,kita di ajar oleh Rasulullah s.a.w. untuk beristighfar.
Nabi s.a.w. setiap hari akan bertaubat(sedangkan Baginda adalah maksum) sebanyak 70-100 kali sehari. Secara ringkas kalau setiap lepas solat kita istighfar sebanyak 20 kali maka dalam sehari kita juga boleh dapat 100 istighfar.

ALLAH SWT amat suka dan sentiasa menerima taubat hambaNya jika dilakukan dengan ikhlas. Kita janganlah sekali-kali berputus asa untuk bertaubat( eg kita fikir : Adakah ALLAH akan ampunkan aku?)

Semoga ALLAH akan sentiasa menerima taubat kita dan menghindari kita dari melakukan atau mengulangi dosa-dosa kita. Ameen Ya Rabbual 'Alameen.

Untuk perbincangan detail tentang taubat boleh tengok tang ni dan di sini



Kandungan posting mungkin ada kena mengena atau tidak dengan makhluk yang hidup atau yang telah tiada.Kalau sapa-sapa terasa nak buat macamana kan. Sapa makan cabai melaka dia pedaih laa

6 comments:

de_kerinchi said...

Salam dr. tokasid,

sesungguhnya, saya hari-hari berada di dalam keadaan berdosa....mata ini berdosa, mulut ini berdosa, telinga ini juga berdosa...hanya dipanjatkan doa agar tuhan sentiasa melindungi umat akhir zaman ini termasuk diri saya. Aminnnn...

p/s: Sekarang ni takpayah bertapa ke dalam gua, kat luar ni pun banyak sangat dugaan...

ZABS said...

Salam Tokasid,

"Mendapat kemaafan atau halal dari orang tersebut atau mengembalikan harta yang diambil dari orang( atau orang ramai jika itu harta negara) atau menarik balik kata-kata terhadap orang itu( yang kita mengata atau telah fitnahkan)".
Ini yang susah nak buat ni. Semoga kita mendapat taufik dan hidayah Nya untuk terus bertaubat. Ameen.

tokasid said...

Saudara de_kerinchi:

Memang zaman akhir zaman ni banyak dugaan maksiat. Itulah sebabnya ALLAH menyuruh kita sentiasa bertaubat samada utk dosa kecil atau besar. Dosa-dosa kecil bisa gugur dengan sentiasa berwudhu atau melakukan solat sunat.

Dosa-dosa besar seperti zina,minum arak atau yg memabukan(macam ambil dadah), mencuri,membunuh,memfitnah mesti dgn taubat nasuha dan syarat2 yg disertakan.

Yang menjadi masaalah ramai kita( saya pun) ni bodoh sombong. ALLAH dah suruh kita mohon keampunan dan bertaubat tapi kita buat derk saja.

Memang kita tak dapat lari dari membuat maksiat kecil.

Betul.Dulu2 org nak dugaan kena masuk gua atau hutan.Sekarang tak payah lagi. Keluar rumah saja dah terlalu banyak dugaan sampai dah lali kita membuatnya..

tokasid said...

Pak zabs:

Memang amat susah nak minta maaf atau halal dari orang yg telah kita lakukan kesilapan. Masing2 ego tinggi. Kita ego utk minta. Pihak lain kadang2 kala ego utk maafkan malah ambil peluang tersebut nak 'belasah' kita. Yang penting kita telah lakukan bahagian kita.

Zaman sekarang cuba kita renungkan, bagaimana agaknya orang yang menyeleweng harta orang ramai utk kepentingan sendiri? Mereka guna hak rakyat macam hak mereka sendiri tanpa pengetahuan atau persetujuan orang ramai. Ada yang 'curi' masa pejabat.Ada yg 'curi' harta pejabat atau jabatan. Tapi tak pernah pula nak declare bahawa telah berbuat demikian dan minta kemaafan dari rakyat. Tanpa mereka sedari keadaan mereka tergantung-gantung atas penyelewangan mereka hingga ke akhir hayat.

Itulah pentingnya amanah terhadap jawatan yg kita pegang,samada besar atau kecil jawatan kita. Itulah pentingnya dalam membuat tindakan kena fikir dulu, aku nak buat ni Islam kata okay ke tidak?

Alhamdulillah saya kerja sendiri dan jadi bos sendiri. Itu pun tak terlepas jugak. Andaikata saja caj syarikat melebihi dari sepatutnya.Atau caj perkhidmatan yg tak saya berikan.

Semoga kita semua lebih peka dalam hal amanah ini.Takut,kita ingat kita sudah kay tiba-tiba di akhirat terdapat banyak 'claim' terhadap penganiayaan kita terhadap orang lain.Na'uzubillah.

Fauziah Ismail said...

Salam Tokasid
No sin is too great or too little to repent and the only source for forgiveness is God.

tokasid said...

Fauziah:

Memang betul. Tak ada dosa yg ALLAH tak ampunkan kalau kita bertaubat apalagi taubat Nasuha.
Kalau lebih ramai umat Islam faham akan hal ini, alangkah eloknya. Tak akan jadi percemaran nak bertaubat ni.Tak ada lagi orang pergi minta pada tok wali atau tok keramat.